AGC kembalikan pertuduhan dera kanak-kanak, batal pertuduhan ringan
Jabatan Peguam Negara (AGC) mengembalikan semula pertuduhan mendera kanak-kanak terhadap seorang penjaga yang didakwa mencederakan seorang bayi perempuan, susulan kecaman meluas apabila pertuduhan asal diganti dengan yang lebih ringan.
Wong Pui Lay pada awalnya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 pada 11 Julai tahun lalu, namun pihak pendakwaan kemudiannya menawarkan pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan pada 7 Jan.
Selepas Wong mengemukakan pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang diubah, hakim Noor Ruzilawati Nor dijadualkan menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh semalam di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan memaklumkan kepada mahkamah bahawa AGC telah memutuskan untuk menarik balik pertuduhan Kanun Keseksaan yang ditawarkan, sekaligus mengembalikan pertuduhan asal di bawah Akta Kanak-Kanak.
Emily Tan, peguam yang dilantik oleh keluarga mangsa, berkata kepada Malaysiakini:
“Kami dimaklumkan di mahkamah (semalam) bahawa pertuduhan alternatif yang ditawarkan telah ditarik balik.
“Kes ini telah dijadualkan semula pada tarikh lain untuk melihat sama ada tertuduh ingin mengaku tidak bersalah atau bersalah terhadap pertuduhan asal,” katanya.
Mahkamah menetapkan 24 Feb untuk pengurusan kes seterusnya.
Mangsa, yang ketika kejadian pada Jun tahun lalu berusia lapan bulan, dikatakan mengalami beberapa lebam pada paha. Ibu bapa mangsa menyedari kecederaan tersebut selepas mengambil anak mereka dari rumah tertuduh.
‘Kelemahan besar’ dalam sistem kehakiman
Malaysiakini sebelum ini melaporkan kekecewaan ibu bapa mangsa apabila mereka dimaklumkan lewat tentang pertuduhan alternatif yang ditawarkan kepada Wong.
Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak bagi penderaan yang mendatangkan kecederaan fizikal atau emosi kanak-kanak boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda maksimum RM20,000, atau kedua-duanya.
Manakala Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi sengaja mencederakan orang, yang biasanya digunakan untuk kes orang dewasa, hanya menetapkan hukuman penjara maksimum satu tahun, denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya.
Bapa bayi, Lim Yi Sheng, berkata terdapat “kelemahan besar” dalam sistem kehakiman jika pertuduhan penderaan kanak-kanak boleh diubah dengan mudah kepada “pertuduhan yang jauh lebih ringan.”
“Bayi kami tidak boleh bercakap atau melawan. Jika bayi tidak dilindungi oleh Akta Kanak-Kanak, untuk apa wujudnya Akta itu?” soalnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/8fde8817a2e5e02d350fd76645a12789.jpg)
