Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, keputusan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek meletakkan jawatan dalam kabinet dan parti adalah wajar dan tepat.

"Beliau telah mengambil tanggungjawab terhadap yang telah berlaku," kata Perdana Menteri dalam sidang media di pejabatnya di Putrajaya petang tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada sebarang tindakan akan diambil ke atas Dr Chua di atas perlakuannya itu.

Semalam, Chua mengaku bahawa beliau adalah individu dalam video yang menunjukkan seorang lelaki sedang melakukan hubungan seks dengan seorang wanita dalam bilik sebuah hotel.

Beliau telah meletakkan jawatannya sebagai Menteri Kesihatan dan semua jawatannya dalam parti itu, berkuatkuasa serta merta.

Beliau turut meletakkan jawatanya sebagai ahli Parlimen Labis. Beliau juga merupakan pengerusi MCA Johor serta ketua MCA bahagian Batu Pahat.

Surat letak jawatan

Katanya, beliau telah memaklumkan kepada Abdullah dan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting mengenai keputusannya itu.

Abdullah berkata, Dr Chua menyerahkan surat peletakan jawatannya semasa mesyuarat kabinet hari ini.

Katanya, mesyuarat kabinet tidak membincangkan mengenai perletakan jawatan Dr Chua itu.

Ketika diminta mengulas mengenai pengganti Dr Chua untuk jawatan menteri kesihatan, Abdullah berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Ong.

"Saya akan bincang dulu. Jawatan menteri kesihatan merupakan kuota MCA, sama juga dengan kerusi Parlimen Labis.

"Terpulang kepada Ong untuk memilih pengganti Dr Chua," katanya lagi.

hadapi p'raya

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, apa yang berlaku dalam MCA tidak akan membawa krisis kepada parti tersebut.

Katanya, ini kerana Ong boleh menghadapi suasana tersebut, selain MCA mempunyai ramai pemimpin.

"Ia juga tidak akan menjejaskan persiapan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang kerana parti tidak kekurangan pemimpin," katanya.

Abdullah berkata, beliau diberitahu mengenai video seks Dr Chua itu semalam.

Katanya, beliau tidak menonton pita tersebut kerana pelakunya (Dr Chua) sudah membuat pengakuan mengenai perkara tersebut.