Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis kenal pasti 2 individu disyaki terlibat pemalsuan dokumen pemain warisan

Polis telah mengenal pasti dua individu dipercayai terlibat dalam kes pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dikemukakan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Rusdi Mohd Isa berkata usaha mengesan kedua-dua individu terbabit kini sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan lanjut.

Rusdi berkata setakat ini pihak polis telah menerima 45 laporan berhubung isu berkenaan, termasuk satu laporan yang dibuat FAM.

“Sebanyak 43 saksi terdiri daripada pihak FAM, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta saksi awam telah dirakam percakapan bagi melengkapkan siasatan kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rusdi, siasatan awal mendapati proses pemerolehan taraf kewarganegaraan melalui langkah menaturalisasikan tujuh pemain warisan Harimau Malaya itu dilaksanakan mengikut prosedur dan mematuhi undang-undang sedia ada.

Bagaimanapun, dia berkata siasatan kini menjurus kepada elemen penipuan dan pemalsuan dokumen semasa proses pendaftaran pemain berkenaan untuk dikemukakan kepada badan induk bola sepak dunia, Fifa.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan,” katanya.

Dalam pada itu, Rusdi menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Dia turut memberi jaminan bahawa polis komited memastikan ketelusan serta integriti siasatan sentiasa diutamakan bagi menjamin keadilan tanpa melindungi mana-mana pihak.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS