mk-logo
Berita
Anwar nafi laporan Malaysia bagi 5,207 hektar tanah pada Indonesia
Diterbitkan:  Jan 24, 2026 1:19 PM
Dikemaskini: 5:21 AM

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyangkal laporan media mendakwa Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata Malaysia akan berunding secara baik mengenai isu pampasan tanah tersebut dalam masa terdekat.

“Laporan tidak betul, kita akan berunding dengan baik,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Kebudayaan MADANI dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang 2026 di Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah, Permatang Pasir di Bukit Mertajam.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Baru-baru ini, media melaporkan tiga desa di Nunukan, Kalimantan Utara didakwa beralih ke Malaysia, namun pertikaian sempadan di kawasan Pulau Sebatik masih belum diselesaikan, sementara Indonesia dilaporkan memperoleh tambahan kawasan seluas 5,207 hektar dari Malaysia.

Semalam, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata rundingan untuk penandaan dan pengukuran di kawasan Isu Sempadan Tertunggak (OBP) dilaksanakan secara harmoni di antara kedua-dua negara dan tidak bersandarkan kepada prinsip timbal balik, pampasan atau untung-rugi.

Pemuktamadan pengukuran sempadan darat itu dibuat melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman antara kedua-dua negara pada 18 Feb 2025 selepas melalui proses perundingan teknikal yang komprehensif dan telus selama lebih 45 tahun.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS