Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Albert Tei jadi Youtuber, pakai baju lokap oren SPRM

Ahli perniagaan Albert Tei, sekali lagi mencuri tumpuan apabila menjadi Youtuber dalam saluran YouTube miliknya, ‘Albert Tei Reformati’.

Berpakaian lokap SPRM, Tei bercakap di hadapan kamera mengenai isu rasuah serta mengkritik kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan melakukan dwistandard.

Sejak 12 Januari lalu, saluran tersebut telah memuat naik enam klip video dan kini mempunyai lebih 2,900 pelanggan (subscribers).

Dalam klip video pertamanya, Tei mengulas siasatan SPRM berhubung pendedahannya terhadap ahli politik Sabah.

Tei berkata dia membeli pakaian itu yang dijual di dalam talian sebagai protes terhadap tindakan suruhanjaya itu.

"Hari ini merupakan hari ke-46 selepas saya dan keluarga saya diacukan pistol, dianiaya oleh SPRM untuk memakai baju ini.

"Saya menegaskan di sini baju ini saya beli di Shopee.

"Saya percaya ketika itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pasti sangat seronok dan gembira apabila lihat saya memakai baju oren ini dengan digari.

"Mereka telah melakukan pelbagai perkara jahat terhadap saya untuk menutup mulut saya supaya saya berhenti mendedahkan kegiatan rasuah dan salah laku yang berkaitan dengan mereka.

"Mereka ingat saya akan berasa takut dengan muslihatnya namun mereka telah gagal untuk mengugut saya dengan pelbagai taktik jahat,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri dan ibu pejabat SPRM bagi mendapatkan reaksi mengenai saluran itu dan kritikan Tei.

Skandal rasuah

Tei merupakan watak utama dalam skandal perlombongan Sabah apabila dia mendedahkan beberapa rakaman video yang mengaitkan dakwaan rasuah terhadap sekurang-kurangnya 15 ahli politik dan pemimpin negeri.

Namun daripada 15 individu tersebut, pihak berkuasa hanya mendakwa dua daripadanya dan Tei walaupun ahli perniagaan itu memohon perlindungan sebagai pemberi maklumat (whistleblower).

Pada 28 Nov tahun lalu, rumah Tei diserbu sekumpulan anggota SPRM lengkap dengan peralatan taktikal — termasuk vest kalis peluru dan bertopeng— sebelum Tei digari dan dibawa masuk ke dalam kenderaan berwarna hitam.

Bulan lalu, Tei didakwa memberi rasuah kepada bekas setiausaha politik kanan Anwar, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Shamsul turut didakwa menerima rasuah daripada ahli perniagaan tersebut.

Kedua-duanya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Dis dan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 5 Dis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS