mk-logo
Berita
GLOBAL | 6 maut akibat ribut salji, lumpuhkan timur, selatan AS
Diterbitkan:  Jan 26, 2026 9:50 AM
Dikemaskini: 2:27 AM

GLOBAL | Sekurang-kurangnya enam kematian dilaporkan apabila ribut musim sejuk meluas melanda negeri di timur dan selatan Amerika Syarikat (AS) pada Ahad, membawa hujan beku, salji lebat serta jalan raya berais yang menyebabkan lapangan terbang dan lebuh raya ditutup, selain bekalan elektrik terputus kepada lebih sejuta penduduk ketika ribut itu semakin buruk.

Ribut berkenaan menyebabkan suhu di banyak negeri menjunam ke bawah paras beku, lapor Anadolu Ajansi, memetik beberapa laporan media.

Georgia, Louisiana, Mississippi, Tennessee dan Texas antara negeri yang paling teruk terjejas setakat ini, apabila pembentukan ais memutuskan talian elektrik, menyebabkan gangguan bekalan kuasa serta melumpuhkan bandar utama seperti Atlanta, Houston dan Nashville. Kebanyakan perniagaan dan daerah sekolah di kawasan terlibat ditutup sebagai langkah pencegahan keselamatan awam.

Menurut laman web PowerOutage.us yang menjejaki gangguan elektrik di seluruh AS, Tennessee mencatatkan jumlah gangguan tertinggi dengan sehingga 339,000 pelanggan terputus bekalan elektrik setakat tengah hari Ahad.

Gambar hiasan.

Hampir 180,000 penduduk di Mississippi dilaporkan terjejas manakala hampir 150,000 pelanggan di Louisiana turut mengalami gangguan bekalan elektrik.

Texas dan Georgia masing-masing merekodkan hampir 100,000 pelanggan tanpa bekalan elektrik, dengan pasukan kecemasan bekerja tanpa henti bagi memulihkan bekalan secepat mungkin.

Salji tebal turut menjejaskan kawasan Midwest, termasuk Ohio, dengan bandar utama seperti Cincinnati dan Columbus menerima antara 15 hingga 25 sentimeter (cm) salji setakat ini.

Hampir 30cm salji direkodkan di bandar Dayton dan Springfield di barat daya negeri itu, dengan pihak berkuasa bandar menggesa penduduk supaya tidak menggunakan jalan raya dan lebuh raya yang berais serta kekal berada di rumah.

“Ia benar-benar sangat berbahaya di luar sana,” kata Datuk Bandar Columbus, Andrew Ginther, dalam satu kenyataan video.

“Anda sepatutnya berada di rumah kecuali jika berlaku kecemasan yang amat penting.”

Beberapa negeri lain turut dilanda salji tebal, termasuk Arkansas (20cm), Illinois (28cm), Indiana (33cm), Kansas (30cm), Missouri (18cm) dan Oklahoma (15cm). Sebahagian kawasan di Texas Utara menerima kira-kira 13cm salji, menurut peramal cuaca.

Kawasan timur laut AS juga terjejas, dengan New Jersey menerima 25cm salji, New York (18cm) dan Pennsylvania (23cm).

Lebih 16,000 penerbangan di seluruh AS dibatalkan setakat ini akibat ribut musim sejuk berkenaan, dengan ribuan lagi penerbangan mengalami kelewatan di lapangan terbang seluruh negara.

Bandar utama yang mengalami pembatalan dan kelewatan penerbangan termasuk Atlanta, Boston, Chicago, Dallas, Detroit, Houston, New York, Philadelphia dan Washington, DC.

Pakar kaji cuaca berkata cuaca sejuk melampau itu dijangka berterusan di banyak negeri sehingga awal minggu ini, ketika ribut berkenaan masih meliputi kawasan yang luas di AS.

- Bernama-Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS