Bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Mohammad Hafizuddeain Jantan hari ini membuat laporan polis ke atas Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin, yang mendakwanya memakai jam tangan mewah bernilai ratusan ribu ringgit ketika hadir ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan berkaitan rasuah.
Menafikan dakwaan Badrul Hisham atau juga dikenali sebagai Chegubard, peguam Hafizuddeain, Aizul Rohan Anuar berkata jam tangan tersebut sebenarnya dikeluarkan oleh Angkatan Tentera Malaysia, dan bukannya jenama Patek Philippe.
“Contoh kenyataan yang dibuat oleh CheguBard yang memang tidak betul. Semasa datang ke mahkamah Tan Sri (Hafizuddeai) pakai jam tanpa jenama tertulis Chief Of Army,” katanya ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut laporan MalaysiaGazette, Aizul Borhan turut memaparkan gambar yang didakwa dirujuk oleh Chegubard dalam satu hantaran tular di media sosial.
“Dalam gambar ini senang dimanipulasikan dan menyebabkan orang bercakap tidak tentu hala.
“Saya sendiri melihat jam Tan Sri pada hari pertuduhan, tengok sendiri, memang saya sahkan itu bukan jenama Patek Philippe,” katanya.
Susulan itu, Aizul Borhan berkata Hafizuddeain hadir ke IPD Dang Wangi sekitar 12.30 tengah hari tadi bagi membuat laporan polis dan proses merakam keterangan dijalankan sebaik sahaja laporan dibuat.
Selain itu, Aizul Borhan berkata laporan polis Hafizuddeain turut merangkumi pendedahan butiran peribadi termasuk akaun perbankan miliknya yang disebarkan oleh Chegubard.
Katanya, anak guamnya sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan sivil susulan fitnah yang dibuat berhubung jam mewah dan pendedahan dokumen sulit tersebut.
“Sama ada kami akan mengambil tindakan sivil atau sebaliknya, saya tidak tahu lagi sebab Tan Sri sedang mempertimbangkannya sebab perkara ini tidak sepatutnya berlaku.
“Sesiapa boleh membuat laporan polis dan pihak berkuasa untuk membuat siasatan tidak boleh dinafikan hak pihak berkuasa. Tapi untuk orang biasa mendapatkan dokumen-dokumen ini adalah salah di sisi undang-undang.
“Kita tidak boleh saman sewenang-wenangnya, semuanya bergantung dengan bukti. Daripada itu kami akan ambil tindakan,” katanya lagi.
Pada 23 Jan lalu, Hafizuddeain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM145,000.
Sehari sebelum itu, dia juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menerima lebih RM2.12 juta hasil daripada aktiviti haram.
Hafizuddeain adalah bekas Panglima Tentera Darat pertama yang didakwa di mahkamah berkaitan kes pengubahan wang haram membabitkan tender perolehan Tentera Darat Malaysia.
