Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fadhli: Pusingan U bukti kerajaan rangka dasar tanpa kajian mendalam
Diterbitkan:  Jan 27, 2026 3:26 PM
Dikemaskini: 7:26 AM

Seorang ahli parlimen pembangkang hari ini mengkritik Putrajaya kerana didakwanya merangka polisi pelan pendidikan negara tanpa melakukan penyelidikan mendalam.

Ia susulan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pagi tadi yang memaklumkan kerajaan membatalkan rancangan pelaksanaan ujian diagnostik bagi kanak-kanak berusia enam tahun untuk menyemak kelayakan mereka memasuki tahun satu persekolahan.

Menerusi satu hantaran di Facebooknya, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, menyifatkan pembatalan tersebut sebagai satu pusingan U oleh Putrajaya.

"Baguslah kerajaan U-turn pula untuk kebaikan rakyat.

"Tapi itulah, menampakkan kerajaan sebenarnya tidak buat kajian yang mendalam sebelum umumkan polisi," tulisnya.

Minggu lalu, Anwar melancarkan Pelan Pendidikan 2026-2035 yang memperkenalkan beberapa inisiatif baharu, termasuk memberi pilihan kepada ibu bapa untuk mendaftarkan anak berusia enam tahun ke tahun satu sekiranya mereka percaya anak tersebut sudah bersedia.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sebelum ini berkata pelaksanaannya yang dirancang bermula tahun depan akan dilakukan secara berfasa melibatkan penilaian diagnostik, dengan mengutamakan kanak-kanak yang benar-benar bersedia.

Cadangan tersebut bagaimanapun menerima kritikan daripada sesetengah pihak. Antara lain mereka bimbang ia akan mewujudkan sistem pendidikan dua darjat.

Susulan itu, Anwar memberitahu Dewan Rakyat pagi tadi bahawa dia bersetuju untuk membatalkan cadangan ujian diagnostik tersebut.

Katanya, keputusan itu diambil selepas kerajaan menyemak semula rancangan tersebut, termasuk mengambil kira kebimbangan pihak-pihak tertentu bahawa ujian sedemikian boleh memberi kesan psikologi kepada kanak-kanak.

"Cadangan awal mempunyai niat yang baik kerana ia bertujuan memperkenalkan sistem penilaian sebelum kanak-kanak memasuki sekolah. Bagaimanapun, ia dirasakan boleh bersifat diskriminasi.

"Ini boleh menyebabkan kanak-kanak dianggap tidak layak atau kurang cerdik sebelum memasuki tahun satu atau prasekolah, yang mungkin memberi kesan psikologi.

"Oleh itu, ia kini dibatalkan. Ini adalah syor menteri pendidikan, dan saya bersetuju," katanya seperti dipetik Bernama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS