Pengerusi Hindraf (Hindu Rights Action Force), P Waythamoorthy, yang kini tinggal di United Kingdom, mendakwa kenyataannya dalam satu temubual dengan Associated Press (AP) pada 30 Disember lalu, telah disalahlaporkan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dari Hounslow, London hari ini, Waythamoorthy berkata ulasannya kepada AP telah "dipetik di luar kontak".

"Saya kecewa, sebahagian kecil daripada temubual tersebut telah diperbesar-besarkan untuk membawa maksud yang saya tidak lagi berminat dengan perjuangan Hindraf atau perjuangan tersebut akan berkubur tidak lama lagi," katanya.

Waythamoorthy berkata, beliau telah ditanya dalam temubual dengan AP itu mengenai kedudukan Hindraf jika kerajaan gagal membuat sebarang perubahan selepas lima hingga 10 tahun berkempen.

"Jawapan saya ialah: walaupun begitu, kita akan terus dengan perjuangan kita kerana bukan semua peperangan dapat mencapai kemenangan.

"Jika kita kalah selepas bertahun-tahun berkempen, tak apalah, kita akan berhenti. Tidak ada satupun pertubuhan (termasuk Hindraf) boleh mendakwa kita akan berada di sini selama-lamanya dan akan berterusan selama-lamanya. Tiada yang kekal dalam dunia ini, begitu juga dengan Hindraf," katanya.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membuat perubahan sewajarnya demi kepentingan masyarakat minoriti India.

"Kuasa rakyat boleh terus bersama perjuangan ini tetapi kuasa muktamadnya berada di tangan kerajaan. Di Malaysia, orang India adalah kaum minoriti dan realitinya ialah kita tidak boleh menubuhkan kerajaan untuk mengubah situasinya," katanya.

Waythamoorthy berkata, beliau juga disalahpetik apabila memberitahu wartaawan berkenaan bahawa beliau akan 'tutup mulut' jika kerajaan bersetuju memberi dua atau tiga konsesi kepada mereka (India) dan beliau tidak menganggap dirinya sebagai orang yang menjadi korban.

Beliau menjelaskan bahawa beliau telah memberitahu seorang pegawai cawangan khas polis yang menemubualnya satu setengah tahun yang lalu bahawa beliau bersetuju "tutup mulut" jika kerajaan menyelesaikan sekurang-kurangnya isu perobohan kuil dan mewartakan semua kuil yang wujud sebelum merdeka.

"Semua orang akan tahu bahawa pada masa ini Hindraf memperjuangkan isu-isu pertukaran agama dan perobohan kuil," katanya dalam kenyataan tersebut.

Perjuangan berterusan

Waythamoorthy mengulangi bahawa beliau akan terus menerajui Hindraf walaupun beliau terpaksa menjelajah ke seluruh dunia.

Beliau menegaskan bahawa perjuangan Hindraf tidak akan berkubur tidak lama lagi, sepertimana yang dilaporkan oleh AP.

"Saya mempunyai banyak perancangan yang telah diatur dan akan diumumkan kepada masyarakat India Malaysia secara berperingkat-peringkat dan dengan sokongan 'kuasa rakyat' yang sedang kita saksikan sekarang, kita akan bersama-sama terus memperjuangkan hak masyarakat minoriti India.

"Saya akan buat apa yang boleh saya lakukan untuk melobi sokongan ahli-ahli Parlimen Britain dan pertubuhan hak asasi manusia dan ini termasuk tuntutan kita supaya lima pemimpin Hindraf dibebaskan tanpa syarat.

"Selepas itu, saya merancang untuk meneruskan lobi di Eropah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, Amerika, Kanada, Australia dan New Zealand," katanya.

Dalam kenyataannya itu, Waythamoorthy berkata beliau tidak "akan menyesal kerana menubuhkan Hindraf dan menerajuinya hingga perjuangannya sekarang".

“Masyarakat India Malaysia telah ditipu oleh kerajaan pimpinan Umno sejak 50 tahun yang lalu, dengan menggunakan parti-parti komponen kaum India untuk menenangkan masyarakat India setiapkali mereka mengadukan bahawa hak-hak mereka telah dipijak.

“Dasar pecah-dan-perintah yang diamalkan oleh kerajaan nampaknya telah berjaya tetapi tidak lagi sekarang. Masyarakat India tidak boleh terus ditipu," katanya.

Protes aman

Katanya, beliau juga sedih kerana lima pemimpin Hindraf telah dijadikan kambing-hitam oleh kerajaan.

Kelima mereka - P Uthayakumar, M Manoharan, R Kenghadharan, V Ganabatirau dan T Vasanthakumar - telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Disember lalu kerana didakwa mengancam keselamatan negara. Mereka kini ditahan selama dua tahun di Pusat Tahanan Kamunting.

“Ironinya, Kenghadharan dan Manoharan, yang hanya bertindak sebagai penasihat undang-undang Hindraf pun tidak terlepas. Kedua mereka telah membela kami apabila didakwa atas pelbagai tuduhan hasutan dan jenayah," kata Waythamoorthy.

Beliau juga berkata, Hindraf akan menganjurkan protes-protes aman di seluruh negara untuk mengetengahkan masalah dan nasib masyarakat India serta mendesak pembebasan lima pemimpin Hindraf tersebut.

Waythamoorthy berkata beliau akan mengumumkan langkah seterusnya minggu depan.