Hasil bedah siasat terhadap mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, yang maut selepas dipercayai tertinggal di dalam sebuah kereta di Jalan Tunku Hassan, di Seremban semalam, mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal atau pada organ dalamannya.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata bedah siasat berkenaan dijalankan hampir lima jam bermula 2.30 petang di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau dan hasil saringan COVID-19 turut menunjukkan mangsa negatif daripada penyakit itu.
“Punca kematian diklasifikasikan sebagai undetermined (belum dapat ditentukan) setakat ini. Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya kepada Bernama hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata ibu kepada kanak-kanak berkenaan yang ditahan semalam telah dibebaskan dengan jaminan polis pagi tadi.
Alzafny bagaimanapun tidak menolak kemungkinan wanita berusia 35 tahun itu akan dipanggil semula untuk membantu siasatan sekiranya terdapat keperluan.
Sehubungan itu, beliau menasihati ibu bapa untuk lebih berwaspada dan memastikan keberadaan anak-anak diketahui setiap masa khususnya ketika di dalam atau sekitar kenderaan, selain meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian.
Semalam, kanak-kanak itu ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta selepas dipercayai ditinggalkan oleh ibunya yang bertugas di sebuah bank berhampiran pada 8 pagi, dengan kejadian hanya disedari kira-kira 5 petang selepas wanita berkenaan selesai bekerja.
- Bernama
