Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menjelang musim peperiksaan, UM tangguh laksana peraturan baru
Diterbitkan:  Jan 30, 2026 3:38 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Universiti Malaya (UM) mengumumkan pelaksanaan dasar baru hukuman tatatertib terus ditangguhkan selepas mengambil kira musim peperiksaan yang kian hampir.

Dalam kenyataan semalam, UM berkata penangguhan itu bagi membolehkan pelajar memberi tumpuan kepada prestasi akademik mereka.

UM juga berkata pihaknya akan menjalankan kajian semula menyeluruh terhadap dasar tersebut, yang dianggap kontroversi oleh beberapa kumpulan pelajar kerana ia melibatkan kesalahan sekatan keluar tengah malam bagi pelajar yang tinggal di kampus, bunyi bising berlebihan, dan pelanggaran kod etika pemakaian universiti.

“Proses ini akan melibatkan perbincangan bersama kepimpinan pelajar serta Kesatuan Mahasiswa UM (KMUM) bagi mendapatkan pandangan yang konstruktif dan menyeluruh,” katanya.

Pengumuman itu dibuat menjelang protes pelajar pada jam tiga petang hari ini, yang menurut Liga Mahasiswa UM akan tetap diteruskan seperti rancangan.

Dalam satu hantaran di Instagram malam tadi, kumpulan pelajar itu berkongsi kenyataan universiti berkenaan dengan tulisan besar berwarna merah “ada yang goy (takut)” pada imej tersebut.

Pada 23 Januari, beberapa kumpulan pelajar UM mengecam dasar baharu itu sebagai satu tamparan kepada autonomi pelajar.

Eksekutif semak dan imbang Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Nur Akil Shamil Mohamed berkata sekatan keluar malam yang baru itu bercanggah dengan norma kehidupan para pelajar, memandangkan ramai yang perlu berada di luar kampus sehingga lewat malam.

“UM selama ini dikenali kerana tidak mengenakan sebarang sekatan keluar malam. Kita tidak pernah ada sekatan dan pintu pagar sentiasa dibuka 24 jam.

“Ramai mahasiswa terlibat dalam projek yang memerlukan mesyuarat sehingga jam 1 pagi. 

"Bagaimana kami sepatutnya menjalankan mesyuarat ini dan kembali ke kolej sebelum jam 12 tengah malam,” katanya.

Kebanyakan universiti awam di Malaysia mewajibkan pelajar yang tinggal di kampus untuk pulang sebelum jam 12 tengah malam, jika tidak mereka boleh dikenakan tindakan.

Sehingga baru-baru ini, UM dan Universiti Kebangsaan Malaysia adalah antara sejumlah universiti awam yang tidak mengenakan sekatan tersebut.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS