Seorang pemimpin akar umbi DAP mendakwa beberapa pemimpin Bersatu menyatakan hasratnya untuk menyertai parti itu.
Pengerusi DAP Cawangan Wangsa Permai, Kepong Muhammad Najmi Samsudin mendakwa mereka menyatakan hasrat untuk menyertai DAP susulan kemelut dihadapi Bersatu.
"Ada beberapa pimpinan Bersatu Selangor datang berjumpa saya menyatakan hasrat menyertai parti.
"Selepas memberikan penerangan tentang parti dan berjaya memahamkan mereka, saya kata, OK, saya alu-alukan mereka untuk menyertai DAP asalkan mereka ikhlas.
"Kata mereka, Bersatu amat berserabut pada masa ini. Selain bergaduh dengan PAS dalam Perikatan Nasional (PN), mereka terkesan dengan konflik antara Muhyiddin bersama Azmin Ali dan kumpulan Hamzah Zainuddin," katanya dalam hantaran di Instagram miliknya.
Bersatu dengan PAS dilihat berselisih pandangan berhubung isu pengerusi PN, khususnya selepas Muhyiddin yang juga presiden Bersatu meletakkan jawatan 1 Jan lalu.
Polemik itu berterusan apabila Muhyiddin dalam satu surat kepada presiden parti gabungan itu mencadangkan agar jawatan pengerusi PN dimansuhkan.
Bagaimanapun, PAS melalui presidennya Abdul Hadi menolak cadangan itu dan mendakwa ia tiada dalam perbincangan ketika pertemuan mereka sebelum ini.
Najmi berkata, dia akan menguruskan kemasukan besar-besaran pemimpin dan akar umbi Bersatu Selangor ke dalam DAP.
"Saya akan uruskan kemasukan besar-besaran pimpinan dan akar umbi Bersatu Selangor ke dalam DAP dalam masa terdekat. Demi mengukuhkan kedudukan DAP menjelang PRU-16 dari segi sokongan undi Melayu.
"Kita tidak mampu lagi nak biarkan orang-orang Melayu diperkotak-katikkan di persada politik negara oleh segelintir pemimpin yang rakus dan selalu memanipulasi kaum sendiri untuk kepentingan politik mereka," katanya lagi.
