Kerajaan pusat berjanji akan menjadikan Kelantan pusat ketamadunan Islam yang terbilang sekiranya Barisan Nasional (BN) dan membina lebih banyak masjid di negeri tersebut.

Bagaimanapun janji itu ada syaratnya - rakyat Kelantan mesti mengundi Barisan Nasional untuk kembali menerajui negeri itu selepas pilihanraya umum nanti.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pengundi di Kelantan mesti menolak PAS yang memerintah negeri itu sejak 18 tahun yang lalu jika mereka mahukan pembangunan dan perubahan yang positif.

"Harap menanglah kerana ia akan melancarkan proses pembinaan masjid dan mempercepatkan pusat tamadun Islam di Kelantan," katanya dalam laporan Bernama ketika berucap di majlis pecah tanah masjid baru An-Nur, Guchil, di Kuala Krai, Kelantan hari ini.

Najib berkata langkah yang telah diambil oleh kerajaan pusat dalam membina masjid merupakan tindakan berterusan untuk memperkasakan Islam.

Beliau berkata berbeza dengan PAS di Kelantan yang telah mentadbir Kelantan selama 18 tahun, yang digelar Serambi Mekah namun tiada sebuah masjid barupun dibina oleh kerajaan negeri pimpinan parti itu.

"Kalau ada pun masjid yang cuba dibina di Rantau Panjang semasa sambutan Jubli Perak tiga tahun lalu.

"Tetapi sehingga kini projek itu belum lagi siap sepenuhnya dan masih tergendala. Di mana Islam yang dilaungkan PAS jika sebuah masjid pun tidak boleh dibina," katanya.

Najib turut terharu dengan pembinaan masjid baru An-Nur kerana 40 tahun dahulu masjid asal berkenaan telah diluluskan peruntukan pembinaannya oleh ayah Najib, Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein yang ketika itu juga memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1968.

"Tersentuh hati selepas 40 tahun ayahanda saya datang untuk merasmikan masjid yang pada masa itu berharga RM35,000.

"Kini yang saya luluskan (Kerajaan Pusat) kini berjumlah RM2.1 juta dan saya juga kini adalah Timbalan Perdana Menteri," kata Najib.