Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Afrika Selatan arah diplomat tertinggi Israel tinggalkan Pretoria

Kementerian Luar Afrika Selatan pada Jumaat mengarahkan Kuasa Usaha Israel, iaitu diplomat tertinggi Israel di Pretoria, untuk meninggalkan negara itu dalam tempoh 72 jam, yang turut mencetuskan tindakan balas serupa daripada Tel Aviv, lapor agensi berita Palestin, WAFA.

Hubungan antara kedua-dua pihak semakin merosot sejak Pretoria memfailkan kes terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada penghujung 2023, dengan menuduh rejim itu melakukan genosid di Gaza.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Afrika Selatan memaklumkan bahawa ia telah memberitahu pihak berkuasa Israel mengenai keputusannya untuk mengisytiharkan Ariel Seidman, Kuasa Usaha di Kedutaan Israel, sebagai persona non grata.

Kementerian itu menyatakan bahawa keputusan berkenaan diambil susulan siri pelanggaran norma dan amalan diplomatik yang tidak boleh diterima, dan dianggap sebagai pelanggaran langsung terhadap kedaulatan Afrika Selatan.

Ini termasuk penggunaan berulang kali platform media sosial rasmi Israel untuk menghina Presiden Cyril Ramaphosa, serta kegagalan untuk memaklumkan kementerian mengenai dakwaan lawatan oleh pegawai kanan Israel, yang disengajakan.

Menurut kenyatan itu Seidman mesti meninggalkan Afrika Selatan dalam tempoh 72 jam dan menggesa Israel untuk memastikan diplomasi masa hadapannya menunjukkan rasa hormat sewajarnya kepada Afrika Selatan.

Menurut WAFA, Tel Aviv kemudiannya mengumumkan bahawa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan Menteri Luar Gideon Sa’ar telah memutuskan untuk mengisytiharkan wakil diplomatik Afrika Selatan sebagai persona non grata dan mengarahkan beliau meninggalkan Israel dalam tempoh 72 jam.

- Bernama-Wafa


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS