Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
China hukum mati empat scammer berpengkalan di Myanmar
Diterbitkan:  Feb 2, 2026 11:26 PM
Dikemaskini: 3:26 PM

China melaksanakan hukuman mati terhadap empat ahli kumpulan jenayah yang dituduh menjalankan operasi penipuan dalam talian dari negara jiran, Myanmar, menurut mahkamah di bandar selatan Shenzhen pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Empat warga China terbabit telah dijatuhi hukuman pada November atas kesalahan membunuh dengan niat, penipuan telekomunikasi dan dalam talian, penculikan serta pengedaran dadah, kata Mahkamah Menengah Rakyat Shenzhen dalam kenyataan.

Defendan kelima, yang juga telah dijatuhi hukuman mati, meninggal dunia akibat penyakit sebelum hukuman dapat dilaksanakan, menurut mahkamah itu lagi.

Rayuan yang difailkan oleh baki defendan telah ditolak pada Disember.

Pelaksanaan hukuman mati ini merupakan yang terbaru dalam siri hukuman mati yang dijalankan terhadap ahli kumpulan geng yang beroperasi dari Myanmar.

Sebuah mahkamah di bandar timur Wenzhou telah menghukum mati 11 orang minggu lepas dalam kes berkaitan.

Mahkamah menyatakan bahawa kumpulan tersebut telah menubuhkan kasino perjudian dan mengendalikan pusat penipuan di premis yang dibina di utara Myanmar.

Enam warga China terbunuh, manakala yang lain cedera di lokasi terbabit, menurut keputusan mahkamah.

Pihak berkuasa berkata kumpulan itu menjana lebih daripada 29 bilion yuan (US$4.2 bilion) melalui perjudian dan penipuan.

Ketua kumpulan itu juga didapati bersalah atas penglibatan dalam pengeluaran dan pengedaran 11 tan methamphetamine.

Mahkamah menyatakan bahawa hukuman mati itu mencerminkan betapa seriusnya jenayah yang dilakukan.

Kes penipuan dan penculikan tersebut telah menarik perhatian meluas di China.

Di platform media sosial Weibo, ramai pengguna menyuarakan sokongan terhadap pelaksanaan hukuman mati itu.

Kebanyakan mangsa diperdaya ke luar negara dan ditahan secara paksa untuk mengendalikan sindiket penipuan telekomunikasi di premis yang dikenali sebagai pusat penipuan.

- Bernama-dpa


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS