Penempatan Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) tidak mengubah mandat asalnya sebagai agensi khusus yang bertanggungjawab merancang dan melaksanakan program pembangunan sosioekonomi masyarakat India.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan berkata sebaliknya, langkah itu memperkukuh komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan agenda kesejahteraan, mobiliti sosial dan pembangunan modal insan masyarakat India dilaksanakan secara lebih bersepadu dan berimpak tinggi.
“Dalam hubungan ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berpandangan penempatan Mitra di bawah Kesuma tidak akan menjejaskan prinsip itu, malah mengukuhkan kedudukan Mitra dengan menyepadukan agenda pembangunan masyarakat India ke dalam kerangka pembangunan sumber manusia negara secara menyeluruh,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) yang ingin tahu jaminan kerajaan bahawa penempatan Mitra di bawah Kesuma tidak akan menjejaskan kepentingan serta kebajikan kaum India berikutan bebanan tugas sedia ada kementerian itu.
Ramanan berkata penempatan itu bagi memastikan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan program Mitra dapat dilaksanakan secara lebih teratur, sistematik dan berkesan, selaras dengan dasar pembangunan tenaga kerja, kebolehpasaran, peningkatan kemahiran dan perlindungan sosial di bawah Kesuma.
- Bernama
