Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wabak tibi di P Pinang terkawal, tiada kluster dilaporkan - Exco

Wabak Tuberkulosis (tibi) atau batuk kering masih berada dalam keadaan terkawal dengan tiada kluster dilaporkan di Pulau Pinang setakat ini, kata Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Si Zen.

Gooi berkata meskipun situasi di negeri itu tidak membimbangkan, pemantauan rapi tetap dilakukan bersama Jabatan Kesihatan Negeri bagi memastikan wabak itu tidak menular dalam kalangan komuniti.

“Kami mengambil maklum mengenai kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Johor berhubung penularan penyakit tibi di negeri berkenaan, namun di Pulau Pinang setakat ini keadaan masih lagi terkawal.

“Kami sememangnya memberi perhatian dan memantau rapi kes ini bagi mencegah penularannya tetapi belum ada kes yang perlu dirisaukan,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) dan Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) di George Town, hari ini.

Gooi berkata secara keseluruhan, trend penyakit berjangkit di negeri itu juga menunjukkan penurunan berbanding tahun lepas, termasuk penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), Covid-19 serta denggi.

Dia bagaimanapun menasihatkan orang ramai supaya terus berwaspada dan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami simptom berkaitan, supaya sebarang risiko penularan dapat dibendung lebih awal.

Katanya, beberapa lokasi titik panas di negeri itu turut diberi perhatian khusus sebagai langkah pencegahan, terutama kawasan perumahan berpenduduk padat yang berisiko tinggi terhadap penularan penyakit bawaan udara itu.

“Kawasan berpenduduk padat memang kami beri perhatian sebab penyakit ini boleh berjangkit melalui udara tetapi setakat ini, Pulau Pinang berada dalam keadaan baik,” katanya.

Pada 5 Feb lepas, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mengesahkan satu kluster tibi dikesan di Kota Tinggi membabitkan 33 kes positif hasil saringan ke atas 804 kontak rapat sejak 25 Jan hingga 4 Feb lepas.

Terdahulu, pada majlis itu sebanyak 600 ahli JPWK dan 375 ahli JBPP menerima watikah pelantikan bagi sesi 2026-2027 yang disampaikan oleh Gooi dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Lim Siew Khim.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS