Mayat seorang lelaki dan seorang wanita ditemukan dalam keadaan mereput di sebuah rumah di U13, Setia Alam, Shah Alam semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Ramsay Embol berkata mayat berkenaan ditemukan ahli keluarga salah satu mayat terbabit di rumah sewa milik adiknya.
Kata Ramsay, siasatan awal pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor mendapati rumah berkenaan berada dalam keadaan tertutup, tiada kenderaan di pekarangan dan pintu besi hadapan tidak berkunci.
“Kedua-dua mayat berada dalam keadaan mereput dan berdasarkan pemeriksaan forensik, dianggarkan mereka telah meninggal dunia lebih seminggu.
“Bagaimanapun, keadaan rumah adalah teratur dan tiada unsur jenayah dikesan.
“Pemeriksaan juga mendapati tiada kecederaan pada tubuh badan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramsay berkata mayat wanita berusia 39 tahun dan lelaki berusia 36 tahun itu dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat, manakala kes disiasat sebagai mati mengejut.
Dia meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi pegawai penyiasat Ketua Polis Balai Seksyen 6, Insp Izzman Mohd Idrus di talian 013-4003355.
- Bernama
