Radzi didakwa ada agenda peribadi
Seorang pemimpin Umno Perlis mendakwa Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad mempunyai agenda peribadi berhubung kecamannya yang berterusan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pauh, Datuk Abu Bakar Ismail berkata, banyak kenyataan Radzi mengenai Shahidan tidak boleh diterima.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno bahagian Arau berkata, contohnya, kenyataan Radzi meminta Shahidan berhenti dari jawatan Menteri Besar adalah satu kenyataan yang `terlalu jahat.'

"Ia tidak sepatutnya dibuat oleh Setiausaha Agung Umno. Beliau (Radzi) patut tahu jawatannya itu dilantik oleh Presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Perdana Menteri.
"Kerana kenyataan Radzi (kanan) yang berterusan menghentam dan mengkritik Shahidan, perkara kecil telah menjadi besar. Untuk apa Radzi buat kenyataan sebegini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Abu Bakar yang juga ahli Exco kerajaan negeri Perlis berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan terbaru Radzi sebagaimana yang disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan semalam.
'Jangan campurtangan'
Radzi dipetik sebagai berkata, Menteri Alam Sekitar Datuk Seri Azmi Khalid (kiri) paling layak menggantikan Shahidan.
Abu Bakar berkata, Radzi juga kerap membuat program Umno di Perlis tanpa memberitahu kerajaan negeri.
"Apa yang dibuat Radzi itu telah mencemarkan nama Perdana Menteri dan juga Umno sendiri," katanya.
Katanya, Radzi sepatutnya tidak mencampuri urusan kerajaan negeri, sebaliknya menumpukan perhatian kepada Kementerian Dalam Negeri termasuk membanteras pendatang asing.
Sementara itu, Timbalan Ketua Umno bahagian Padang Besar, Khairi Hassan berkata, sudah menjadi satu perkara biasa menjelang pilihanraya umum sering terjadi krisis di kalangan pemimoin utama parti.
Katanya, ia terjadi kerana masing-masing mahu jawatan, walaupun mereka sendiri sudah memegang jawatan.
Tidak jejas p'raya
"Sepatutnya Radzi tahu bahawa kepimpinan Umno negeri berdiri teguh menyokong Shahidan (kiri)," katanya yang juga Adun Mata Ayer.
Khairi bagaimanapun, berkata, krisis yang sedang berlaku di Perlis tidak akan menjejaskan parti itu dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang kerana menyifatkannya sebagai 'satu krisis kecil sahaja'.
"Umno Perlis pernah menghadapi krisis yang lebih besar iaitu perpecahan Umno sehingga tertubuhnya Parti Melayu Semangat 46 (Semangat 46) dan pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Walaupun kedua-dua krisis tersebut jauh lebih besar daripada yang berlaku sekarang, Umno Perlis masih mampu menubuhkan kerajaan negeri," katanya ketika dihubungi hari ini.
Khairi berkata, krisis tersebut hanya berlaku di peringkat atasan dan ia tidak memberi kesan kepada pengundi melainkan beberapa kerat pengundi atas pagar.
"Saya yakin ia akan selesai tidak lama lagi. Pemimpin Umno sudah matang dalam perkara ini," katanya lagi.