Polis sedang mengesan seorang pemandu kereta yang secara tiba-tiba memberhentikan kenderaannya sebelum membaling kon ke arah sebuah kenderaan lain serta mengeluarkan kata-kata mengaibkan di Plaza Tol Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), seperti dipaparkan dalam video tular hari ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata polis mengesan satu hantaran video mengenai kejadian itu di Facebook dan satu laporan polis dibuat oleh seorang anggota pada 1.37 pagi tadi.
“Rakaman tersebut memaparkan seorang lelaki menaiki Perodua Axia berwarna merah dipercayai bertindak demikian ketika keadaan trafik sesak di plaza tol berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut meminta pemilik kenderaan terlibat supaya segera tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.
Susulan kejadian itu, katanya polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat Mohammad Faiz Naufal Zakaria melalui talian 019-485 8907 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.
- Bernama
