Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isa Samad jalani hukuman penjara mulai hari ini

Bekas naib presiden Umno Isa Samad akan mula menjalani hukuman penjara hari ini selepas Mahkamah Persekutuan mengembalikan sabitan rasuah dan hukuman penjara terhadapnya pagi ini.

Bekas pengerusi Felda itu sebelum ini disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 dan dijatuhi hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta.

Dia kemudian dibebaskan sepenuhnya oleh Mahkamah Rayuan pada 2024.

Hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Nordin Hassan membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Isa, dengan memutuskan Mahkamah Rayuan tidak sepatutnya mengganggu keputusan Mahkamah Tinggi.

“Setelah meneliti semua keterangan, kami mendapati dapatan hakim perbicaraan (Mahkamah Tinggi) disokong oleh bukti dan selaras dengan undang-undang.

“Unsur kesalahan di bawah Seksyen 16a(A) Akta SPRM 2009, iaitu menerima wang secara rasuah sebagai balasan, telah dibuktikan bagi kesemua sembilan pertuduhan terhadap responden (Isa) melampaui keraguan munasabah.

“Kami mendapati sabitan oleh hakim perbicaraan bagi kesemua sembilan pertuduhan adalah betul dan selamat,” kata Nordin.

Panel itu kemudian mengeluarkan waran komital terhadap Isa, mengarahkan dia dihantar ke penjara. Difahamkan dia akan ditempatkan di Penjara Sungai Buloh.

Isa, yang memakai sut berwarna coklat lembut dan duduk di luar kandang tertuduh sepanjang prosiding, kelihatan terkejut dengan keputusan panel berkenaan. Dalam beberapa saat, dia bangun dari tempat duduknya, berpaling dan memandang ke arah keluarganya di belakang.

Bagaimanapun, dia diiring keluar dari mahkamah ketika berjalan menuju keluarganya yang duduk di galeri awam mahkamah.

Isterinya, Bibi Sharliza Mohd Khalid, dilihat sangat emosional dan kedengaran menangis manakala ahli keluarga lain terus menenangkan dan memegangnya ketika mereka keluar.

[Berita penuh menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS