Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan sehingga 15 Januari depan untuk mendengar permohonan injunksi inter-parte yang difailkan oleh Koperasi Nesa Pelbagai Bhd dan lapan pihak lain.

Injunksi itu bagi menghalang Maika Holdings Bhd daripada menjual atau melupuskan kepentingan ekuitinya dalam Oriental Capital Assurance Bhd (OCA) kepada Salcon Bhd, seperti diputuskan pada mesyuarat agung tahunan ke-24 syarikat itu, pada 30 Ogos tahun lalu.

Hakim Datuk Kang Hwee Gee yang menetapkan tarikh itu dalam kamar, turut melanjutkan injunksi sementara secara ex-parte yang diberikan kepada Koperasi Nesa dan lapan pihak terbabit selaku plaintif.

Menurut laporan Bernama, mengikut perintah sementara itu, Maika ditahan daripada melaksanakan resolusi yang diputuskan dalam mesyuaratnya selain dihalang daripada menjual atau melupuskan kepentingan ekuitinya dalam OCA kepada Salcon Bhd atau pihak lain, sehingga kes itu selesai.

Selain itu, defendan juga dihalang daripada memasuki sebarang perjanjian terhadap penjualan saham dengan Salcon, atau memindah milik keseluruhan aset Maika.

Plaintif juga memohon deklarasi bahawa mesyuarat itu yang diadakan di Sime Darby Convention Centre di sini dan segala keputusan serta resolusi yang dibuat diketepikan kerana batal dan tidak sah.

Peguam K. Rajasingam dan K. Saraswathy hadir bagi mewakili pihak plaintif manakala peguam Edwin Ng dan Porres Royan mewakili defendan.