Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM beri bayangan tiada keperluan Azam Baki direhatkan
3

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi bayangan tiada keperluan untuk Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berehat daripada mengetuai badan itu, susulan kontroversi pemilikan saham mengaitkannya.

Anwar sebaliknya mahu pasukan petugas khas yang telah dibentuk untuk menyiasat dan menilai terlebih isu berkenaan sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.

"Sekarang biar (pasukan petugas khas) kaji dulu kes, kena tahu dulu apakah serius, apakah ada asas, baru kita maju (dengan tindakan selanjutnya).

"Jangan oleh kerana kita menjadi mangsa (siasatan SPRM), tertekan, terus nak guna (isu) ini untuk tekan (Azam), baru pagi tadi kita bincang (isu ini)," katanya ketika ditanya pemberita berhubung sama ada Azam patut direhatkan daripada SPRM atau tidak.

Anwar berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan sembahyang Jumaat di surau Pusat Islam, Jabatan Pengajian Islam, Politeknik Shah Alam.

Untuk rekod, Anwar telah melanjutkan tempoh perkhidmatan Azam sebanyak tiga kali meskipun pernah dikritik oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Perdana Menteri juga konsisten mempertahankan Azam, sebelum ini memuji "keberanian luar biasa beliau dalam menangani rasuah peringkat tinggi" serta mewajarkan pelanjutan tempoh perkhidmatan kali ketiga buat beliau.
Dia juga bertindak pantas mempertahankan Azam apabila kontroversi pegangan saham itu muncul, dengan menggesa semua pihak untuk membaca penjelasan Ketua Pesuruhjaya tersebut.

Terdahulu hari ini, kerajaan mengumumkan penubuhan satu
pasukan petugas khas bagi menyiasat ketua pesuruhjaya SPRM tersebut.
Anwar Ibrahim dan Azam Baki

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dicapai susulan mesyuarat kabinet yang berlangsung hari ini.

Fahmi yang juga menteri komunikasi mengumumkan jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar, yang akan melapor kembali kepada kabinet untuk tindakan lanjut.

Apabila disoal sama ada penggantungan Azam ada dibangkitkan, Fahmi menyatakan perkara tersebut tidak dibincangkan semasa mesyuarat.

Ketua setiausaha negara dijangka mengumumkan butiran lanjut mengenai pasukan petugas dan skop siasatannya.

Sementara itu, Anwar berkata dia tidak mahu isu yang terkait dengan Azam menganggu tugas yang dijalankan SPRM.

"Saya tak mahu ini mengganggu peranan SPRM keseluruhannya, kerana tentunya ada usaha-usaha untuk mengekang terutama bila mereka (SPRM) ambil tindakan tegas dan keras terhadap perasuah.

"...SPRM jangan peduli tentang pandangan-pandangan lain, dia (SPRM) mesti jalan tugas dia dengan berani dan tegas, negara ini mesti diselamatkan dari angkara durjana rasuah yang merebak menyeluruh," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
3
ADS