Majlis Perundingan Malaysia bagi agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikhs dan Taoism (MCCBCHST) telah mengemukakan rayuan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung perubahan mendadak dalam pengeluaran permit kerja baru bagi paderi, sami, pemuzik kuil dan pengukir asing di negara ini.

Presiden MCCBCHST, Datuk A Vaithilingam berkata, majlis tersebut terperanjat apabila mendapati Jabatan Imigresen tidak lagi mengeluarkan permit kerja kepada permohonan baru dari paderi, sami, pemuzik kuil dan juruukir.

Selain itu, katanya, jabatan tersebut telah membuat pembaharuan permit untuk kali terakhir selama enam bulan kepada paderi, tiga bulan untuk pemuzik kuil dan dua minggu untuk juruukir.

"Selepas itu mereka diberitahu bahawa ia tidak akan diperbaharui lagi," kata Vaithilingam dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat secara mendadak tanpa mengadakan dialog atau perundingan dengan MCCBCHST terlebih dahulu.

Menurut Vaithilingan lagi, ianya tidak pernah berlaku sebelum ini kerana Jabatan Imigresen sentiasa mengadakan perbincangan dengan majlis tersebut sebelum membuat sebarang perubahan dalam sistem yang digunakan.

"MCCBCHST telah menghantar telegram kepada Perdana Menteri untuk meminta beliau menimbang semula perubahan mendadak dalam dasar kerajaan itu yang telah menjadi isu yang amat sensitif kepada masyarakat bukan Islam.

"Kami berharap Perdana Menteri akan dapat memberi arahan segera kepada pihak berkuasa berkenaan supaya mengadakan dialog dengan MCCBCHST dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik," katanya.