Pengagihan air secara berjadual atau bekalan air berjadual (BAB) bagi daerah Kluang dan Pontian di Johor ditangguhkan selama 48 jam bermula tengah malam tadi.
Menurut operator air Johor, Ranhill SAJ, penangguhan itu dilakukan susulan perkembangan positif paras empangan yang membekalkan air mentah kepada beberapa loji rawatan air di kedua-dua daerah berkenaan.
"Penangguhan BAB itu berkuat kuasa mulai 12 tengah malam tadi.
"Para pengguna di Kluang dan Pontian yang terkesan dengan pelaksanaan BAB sejak 7 Feb lalu akan menerima bekalan air secara berperingkat sepanjang tempoh penangguhan tersebut," menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook lewat malam tadi.
Menurut Ranhill SAJ, sekiranya paras air mentah kekal stabil selepas 48 jam, pelaksanaan BAB akan dihentikan sepenuhnya.
Sementara itu, pihak berkuasa turut menasihati pengguna agar terus berhemat dalam penggunaan air dan menyimpan bekalan secukupnya sebagai langkah berjaga-jaga.
BAB mula dilaksanakan pada 7 Feb lalu dengan bekalan air disalurkan selama 36 jam, diikuti 36 jam berikutnya tanpa bekalan air.
- Bernama
