Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ajak berdamai, Caprice hantar bunga dan surat tuntutan pada Rafizi

Pempengaruh Ariz Ramli, atau lebih dikenali sebagai Caprice, nampaknya memilih untuk “berdamai” dengan Rafizi Ramli dengan cara tersendiri, selepas bekas menteri ekonomi itu mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya berhubung dakwaan rasuah.

Menawarkan sejambak bunga sebagai tawaran damai, Caprice turut menghantar surat tuntutan kepada Rafizi, antaranya menuntut permohonan maaf daripadanya.

Bercakap pada sidang media hari ini, peguam Caprice, Rezan Ezra Mosinal berkata surat tersebut telah dihantar kepada Rafizi melalui emel pada jam 2.30 petang tadi.

Menurutnya, emel itu menggariskan tiga tuntutan: Rafizi perlu menarik balik hantaran mengenai Caprice, memadam semua hantaran tersebut, dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepadanya.

Jika Rafizi gagal berbuat demikian sebelum jam lima petang hari ini, tindakan undang-undang terhadapnya akan diambil, katanya.

Rafizi sedang disiasat dalam dua kes berasingan. Kes pertama melibatkan urus niaga kerajaan dengan syarikat semikonduktor British, Arm Holdings, di mana dia dituduh mempercepatkan satu perjanjian yang didakwa menelan belanja RM1.1 bilion.

Dakwaan kedua berkaitan projek tenaga solar berskala besar oleh UEM Lestra, di mana Rafizi didakwa mengarahkan kontrak bernilai RM2.5 bilion ada diberi kepada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengannya.

Rafizi menafikan sebarang salah laku dan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai fitnah.

Dia menyifatkan masa siasatan SPRM — iaitu selepas dia menggesa penggantungan ketua pesuruhjayanya, Azam Baki berhubung dakwaan yang dilaporkan oleh Bloomberg — membawa risiko salah guna kuasa.

Sementara itu, Caprice mempertahankan soalan yang dibangkitkannya berkaitan dakwaan salah laku kewangan semasa Rafizi menjadi menteri ekonomi.

Katanya, tiada salahnya meminta penjelasan mengenai perkara sedemikian dan tindakannya adalah berdasarkan rasa cinta kepada negara.

Katanya lagi, dia meneliti setiap isu yang dibangkitkannya, dan proses semakan fakta dilakukan sebelum dia membuat sebarang hantaran media sosial mengenai perkara-perkara tersebut.

“Saya tempah bunga untuk Rafizi, jadi saya membuka tangan saya kepada dia. Jika Rafizi bersedia, saya juga bersedia untuk berdamai.

“Saya beli bunga untuk anda hari ini. Bunga itu mungkin tahan tujuh hari sebelum layu, jadi saya harap dalam tujuh hari ini, kita dapatlah berdamai,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS