Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis berkas wanita disyaki tikam ibu kandung
Diterbitkan:  Feb 21, 2026 8:50 AM
Dikemaskini: 12:50 AM

Polis menahan seorang wanita berusia dalam lingkungan 50 tahun yang didakwa menikam leher ibunya di Kampung Segineh Inas, Johol di Kuala Pilah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Muhammad Mustafah Hussin berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan senjata tajam iaitu alat pembuka tin.

"Polis menerima maklumat daripada orang awam pada jam 7.08 malam berhubung satu pergaduhan yang berlaku di sebuah rumah di kampung berkenaan.

“Mangsa yang berusia dalam lingkungan 80-an kemudian dibawa ke Hospital Rembau untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Bagaimanapun mangsa masih di bawah pemantauan pihak hospital,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mustafah, suspek mungkin mempunyai masalah kesihatan mental namun siasatan berhubung motif kejadian masih dijalankan.

Dia juga memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah menerusi talian 06-4842 999.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS