Tangani jenayah: Tubuh IPCMC, tambah anggota, kata DAP
Jalan penyelesaian praktikal bagi memerangi peningkatan jenayah di negara ini ialah dengan menerima syor Jawatankuasa Diraja Polis dengan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku (IPCMC) dan mengambil 100,000 anggota polis baru untuk menjalankan tugas rondaan, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menyuarakan kebimbangannya terhadap peningkatan ketara indeks jenayah berat sebanyak 13.4 peratus di seluruh negara tahun lalu, terutama kes rompakan tanpa senjatapi yang meningkat 159 peratus manakala kes rogol pula meningkat kira-kira 30 peratus.
Statistik yang diedarkan oleh pihak polis semalam menunjukkan kes jenayah meningkatkan daripada 209,388 pada tahun 2006 kepada 224,298 pada 2007.

Sehubungan itu, Abdullah dilaporkan berkata, langkah segera akan diambil untuk menangani keadaan tersebut, antaranya, dengan menambah 60,000 anggota baru, memasang CCTV di bangunan dan tempat awam, mengambil bekas anggota polis untuk berkhidmat secara kontrak dan membina lebih banyak balai polis.
"Bagaimanapun, beliau sepatutnya lebih bimbangkan langkah-langka pencegahan jenayah yang dicadangkan, yang terlalu sedikit, sudah terlambat dan tidak cukup tegas untuk memerangi jenayah dan punca-puncanya," kata Lim dalam satu kenyataan.
"Abdullah mesti mengaku bahawa langkah penyelesaian tradisional tidak lagi berkesan. Beliau mesti berani mengaku bahawa salah satu punca jenayah ialah salahlaku, salahguna kuasa dan rasuah dalam pasukan polis yang telah menjejaskan kemampuan mereka untuk memerangi jenayah," tambahnya.
Salahguna kuasa, rasuah
Menurut Lim lagi, salahguna kuasa dan rasuah telah menghakis keyakinan rakyat terhadap kemampuan pasukan polis dan usaha memerangi jenayah hanya boleh berjaya dengan keyakinan dan kerjasama rakyat.
Menurutnya, hanya IPCMC yang boleh menangani masalah dalam pasukan polis bagi memenangi semula keyakinan rakyat dan memberi tumpuan semula kepada usaha memerangi jenayah.
Di samping itu, katanya, jumlah anggota polis sekarang tidak mencukupi untuk menjalankan tugas-tugas rondaan dan beliau menyarankan 100,000 anggota baru diambil untuk tujuan tersebut.
Lim berkata, walaupun langkah tersebut akan membabitkan kos yang tinggi tetapi ia merupakan satu penyelesaian yang praktikal untuk menangani peningkatan kes jenayah di negara ini.
"Ia mungkin membabitkan kos tambahan RM10 bilion, tetapi apa sangat dengan RM10 bilion sedangkan jenayah keganasan mengakibatkan negara kerugian RM15 juta pada 2006, dan mungkin lebih tinggi lagi pada tahun lalu.
"Membelanjakan RM10 bilion untuk mengambil 100,000 anggota tambahan, bukan sahaja menjimatkan berbanding kerugian besar yang dialami akibat kegiatan jenayah, tetapi juga dapat mengelak kecederaan ke atas mangsa yang tidak berdosa dan keluarga mereka," katanya.
Tambah 100,000 anggota
Katanya, DAP telah mengadakan kempen di seluruh negara untuk mendesak penubuhan IPCMC dan pengambilan 100,000 anggota polis untuk menjalankan tugas rondaan bagi memastikan rakyat Malaysia dapat hidup, bekerja dan belajar dalam persekitaran yang selamat.
Beliau menggesa perdana menteri supaya menerima cadangan tersebut bagi memastikan kerajaan pimpinan beliau memenuhi mandat dan janji-janji untuk menjamin keselamatan awam.
Lim berkata, peningkatan indeks jenayah negara menunjukkan bahawa kerajaan Abdullah telah gagal untuk menyediakan fungsi asas urustadbir, iaitu keselamatan awam.
"Dengan 3,177 kes rogol dan 2,320 kes mencabul kehormatan yang berlaku tahun lalu, ini bermakna berlaku 8.7 kejadian rogol dan 6.4 wanita dicabul kehormatan setiap hari tahun lalu. Dalam lain perkataan, 15 wanita dirogol dan dicabul kehormatan setiap hari tahun lalu.
"Ini hanyalah angka yang dilaporkan dan kes sebenar rogol dan mencabul kehormatan boleh jadi lebih tinggi kerana pada umumnya, bagi setiap laporan yang dibuat, terdapat sehingga lima lagi kes yang tidak dilaporkan. Angka-angka yang amat menakutkan itu tidak dapat diterima dalam sebuah masyarakat penyayang dan bertamadun seperti Malaysia," katanya.