Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat seorang individu yang dipercayai memuat naik kandungan bersifat mengancam, menghina dan jelik melampau terhadap kerabat diraja Terengganu menerusi akaun peribadinya di platform X.
Kenyataan MCMC hari ini memaklumkan kandungan itu didapati menyentuh sensitiviti institusi diraja dan mengandungi unsur penghinaan serta ancaman yang berpotensi mencetuskan kebencian, ketegangan awam dan gangguan terhadap ketenteraman negara.
"Bagi membantu siasatan, individu berkenaan telah dipanggil untuk sesi rakaman percakapan yang dijalankan di Balai Polis Lanchang semalam," menurut kenyataan itu.
Menurut MCMC, seunit telefon bimbit berserta kad sim telah disita bagi tujuan analisis forensik digital manakala kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa MCMC tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan media sosial yang mengandungi unsur ancaman, hasutan kebencian atau penghinaan terhadap institusi diraja, dan orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan platform digital untuk menyebarkan kandungan yang menyalahi undang-undang.
"Tindakan penguatkuasaan akan diambil secara tegas dan profesional selaras dengan undang-undang sedia ada tanpa mengira latar belakang mana-mana pihak," menurut MCMC.
- Bernama
