PAS menegaskan sikap "terbuka" terhadap siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan seorang exco kerajaan negeri Terengganu.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata parti itu tidak akan mencampuri proses siasatan yang sedang berjalan dan menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada SPRM.
"Itu (urusan) SPRM kita tak campur. PAS terbuka untuk sebarang siasatan kepada kepimpinan negeri, parlimen mahupun parti," katanya dalam sidang media di pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur hari ini.
Takiyuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan seorang exco kerajaan PAS Terengganu oleh SPRM hari ini.
Terdahulu, SPRM Terengganu menahan seorang anggota exco kerajaan negeri pada sebelah pagi kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukan.
Menurut kenyataan SPRM, suspek yang identitinya tidak didedahkan dipercayai menyalahgunakan kuasa dengan mengarahkan kedua-dua anaknya untuk diambil bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri.
"Suspek lelaki berusia lingkungan 60-an telah ditahan kira-kira jam 11.15 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2018 dan 2020," menurut kenyataan itu.
Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, dengan suspek dijangka didakwa dalam masa terdekat.
