Pengerusi baru PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, bukan saja mendapat sokongan daripada Hamzah Zainudin, malah dia juga didukung oleh 18 ahli parlimen lain yang bersama dengan bekas Timbalan Presiden Bersatu tersebut.
Dalam satu kenyataan bersama, 19 ahli parlimen – termasuk bekas dan pemimpin Bersatu semasa – itu berkata mereka percaya PN telah membuat keputusan yang tepat dengan memilih Ahmad Samsuri.
Mereka juga menjanjikan memberikan sokongan penuh kepada Naib Presiden PAS serta Menteri Besar Terengganu itu.
“Pelantikan ini merupakan konsolidasi serius bahawa PN benar-benar bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat dan membina negara.
Diketuai Hamzah – yang dipecat Bersatu baru-baru ini – ahli parlimen yang menyatakan sokongan kepada Ahmad Samsuri ialah Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee (Beluran), bekas ketua Wanita Bersatu, Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), bekas anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor), Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Muslimin Yahaya (Sungai Besar), Abdul Khalib Abdullah (Rompin), dan Khlir Mohd Nor (Ketereh).
Turut berada dalam kelompok itu ialah Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Zakri Hassan (Kangar), Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu), Fathul Huzir Ayob (Gerik), Azahari Hassan (Padang Rengas), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Kalam Salan (Sabak Bernam) dan Islahuddin Abbas (Mersing).
Kenyataan itu dikeluarkan sejurus selepas Majlis Tertinggi PN mengadakan mesyuarat luar biasa petang semalam bagi mengesahkan peletakan jawatan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Mesyuarat sama turut dilaporkan sebulat suara melantik Ahmad Samsuri sebagai pengganti Muhyiddin.
Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, mendakwa proses tersebut berlangsung dalam mesyuarat yang berjalan kurang dari 30 minit.
Bersatu mempunyai 25 ahli parlimen dan Hamzah 19 daripada mereka menyokongnya.
