Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2

PARLIMEN l Pertikaian mengenai status jawatan ketua pembangkang yang kini disandang Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin, tercetus di Dewan Rakyat hari ini, susulan pemecatan bekas timbalan presiden Bersatu itu daripada parti.

RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan perkara itu di bawah Peraturan Mesyuarat 4A(3) dan 4A(4), yang memberi kuasa kepada Speaker Dewan Rakyat untuk menentukan ketua pembangkang sekiranya berlaku sebarang pertikaian.

"Jika timbul sebarang keraguan atau pertikaian tentang siapa yang sedang atau menjadi ketua pembangkang pada bila-bila masa, perkara itu hendaklah diputuskan oleh Speaker, dan keputusan yang diperakui secara bertulis di bawah tandatangannya adalah muktamad dan konklusif," katanya memetik peraturan tersebut.

RSN Rayer (PH-Jelutong)

Rayer menarik perhatian bahawa krisis dalaman Bersatu semakin meruncing selepas Hamzah dan beberapa ahli parlimen lain dilaporkan dipecat daripada parti.

Dia turut merujuk kepada pengisytiharan Hamzah yang menyifatkan dirinya sebagai "musuh nombor satu" kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Dia kemudian mempersoalkan sama ada pejabat Speaker atau Timbalan Speaker telah menerima sebarang pemberitahuan rasmi berhubung perkara itu.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor berkata Pejabat Speaker masih belum menerima sebarang arahan atau dokumen rasmi berkaitan perkara tersebut.

"Setakat ini, walaupun perkara ini telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat ketika saya mempengerusikan persidangan, ia melibatkan struktur asas Dewan Rakyat iaitu kedudukan Ketua Pembangkang.

Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highland)

"Sehingga kini, saya dan saya percaya seorang lagi Timbalan Speaker juga belum menerima sebarang arahan rasmi berhubung perkara tersebut.

"Malah, saya percaya belum ada sebarang dokumen hitam putih atau usul rasmi yang dikemukakan oleh pihak pembangkang untuk membolehkan keputusan berkenaan diterima.

"Perkara ini memerlukan dokumen bertulis yang jelas bagi memperincikan dan memperjelaskan kedudukan dari sudut perundangan selaras dengan peraturan Dewan Rakyat," kata Ramli.

Kenyataan itu sekali gus menyaksikan Hamzah masih kekal berperanan sebagai ketua pembangkang, setakat ini.

Awang Hashim (PN-Pendang)

Sementara itu, Awang Hashim (PN-Pendang) menggesa ahli parlimen lain agar tidak campur tangan dalam apa yang disifatkannya sebagai urusan pengurusan dalaman.

"Selagi Speaker tidak menerima sebarang surat daripada pihak pembangkang mahupun kerajaan, pihak lain tidak boleh campur tangan. Itu adalah prerogatif Speaker atau Timbalan Speaker," katanya.

Dia menambah bahawa parti-parti politik sering berdepan pertikaian dalaman dan harus dibenarkan menyelesaikannya secara bebas tanpa penglibatan luar.

Sebelum ini, Hamzah mendakwa mendapat sokongan daripada 18 daripada 25 ahli parlimen, yang terdiri daripada ahli parlimen Bersatu sedia ada dan individu lain sepertinya yang telah dipecat.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti itu sedang mempertimbangkan untuk mengambil alih peranan ketua pembangkang di parlimen daripada Bersatu, selepas menamakan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai pengerusi PN yang baru bagi menggantikan Muhyiddin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS