Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ringgit terus melonjak, dibuka pada RM3.87 berbanding dolar AS

Ringgit meneruskan rentak pengukuhan untuk dibuka lebih tinggi pada Selasa, dengan pasaran pertukaran asing dilihat sebahagian besarnya mengambil kira data makroekonomi Malaysia yang memberangsangkan serta perkembangan tarif baru-baru ini.

Pada jam 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 3.8790/9010 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada paras 3.8885/8925 ketika ditutup pada Isnin.

Kali terakhir unit tempatan mencapai paras berkenaan adalah pada 13 April 2018, iaitu pada kedudukan 3.8785/8815.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit meningkat 0.31 peratus berbanding dolar AS sejak Isnin, apabila dolar AS menembusi paras psikologi RM3.90 susulan keputusan Mahkamah Agung AS, Jumaat lalu.

“Ketika ini, paras sokongan untuk ringgit berbanding dolar AS adalah pada RM3.8722. Kami berpendapat bahawa pasaran pertukaran asing telah menilai data makroekonomi positif Malaysia serta perkembangan tarif baru-baru ini.

“Oleh itu, kami menjangkakan ringgit akan diniagakan tidak berubah dalam jangka masa terdekat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ketidakpastian terhadap dasar perdagangan AS bersama-sama dengan perkembangan geopolitik berkaitan rundingan antara AS dan Iran yang dijadualkan pada Khamis ini akan terus membentuk sentimen pasaran.

“Rundingan AS-Iran dan peningkatan aset ketenteraan AS di Timur Tengah telah menyebabkan minyak mentah Brent berada di atas AS$70 setong sejak beberapa hari lepas.

“Peniaga akan memantau perkembangan geopolitik dengan teliti kerana tarikh akhir 10 hingga 15 hari yang ditetapkan oleh Presiden AS, Donald Trump untuk memuktamadkan rundingan nuklear boleh mengganggu sentimen pasaran,” katanya.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Mata wang tempatan melonjak berbanding yen Jepun kepada 2.5076/5220 daripada 2.5120/5147 ketika ditutup pada Isnin, meningkat berbanding euro kepada 4.5745/6004 daripada 4.5888/5935 dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.2347/2644 daripada 5.2526/2580.

Ringgit turut diniagakan tinggi berbanding mata wang Asean.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0633/0809 daripada 3.0727/0761, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.5177/5969 daripada 12.5342/5532, menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 230.8/232.2 daripada 231.4/231.7 dan naik berbanding peso Filipina kepada 6.73/6.78 daripada 6.75/6.76 sebelum itu.

Bank Negara serap lebihan mudah tunai 

Sementara itu, kadar jangka pendek dijangka kekal stabil hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

Mudah tunai dalam sistem perbankan dianggarkan sebanyak RM32.4 bilion dalam pasaran konvensional dan RM19.64 bilion dalam dana Islam. 

Hari ini, BNM akan menjalankan dua tender repo berbalik terdiri daripada RM500 juta masing-masing untuk tujuh hari dan 90 hari.

Ia turut menawarkan tender repo berbalik Islam bernilai RM500 juta untuk tujuh hari.

Bank pusat turut mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian jual dan beli balik serta kemudahan Murabahah Komoditi Bercagar untuk tempoh satu minggu, satu bulan dan tiga bulan.

Pada 4 petang, BNM akan menjalankan tender semalaman konvensional sehingga RM33.4 bilion dan RM20.1 bilion dalam tender semalaman Murabahah. 

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS