GLOBAL l Menteri Kewangan berhaluan kanan ekstrem Israel, Bezalel Smotrich berkata kumpulan Islam Palestin, Hamas akan diberikan tempoh akhir dalam masa terdekat untuk melucutkan senjata.
Dalam satu wawancara bersama penyiar awam, Kansas, Smotrich berkata dalam tempoh beberapa hari lagi Hamas akan diberikan kata dua untuk melucutkan senjata dan mengundurkan semua tentera dari Gaza sepenuhnya.
“Kami menjangkakan dalam beberapa hari akan datang, Hamas bakal diberikan ultimatum untuk melucutkan senjata dan mengundurkan semua tentera Gaza sepenuhnya,” kata Smotrich yang dipetik oleh AFP menerusi wawancara itu.
“Jika mereka tidak mematuhinya, IDF (tentera Israel) akan mempunyai legitimasi antarabangsa dan sokongan Amerika Syarikat (AS) untuk melakukannya sendiri.
“IDF kini sedang bersiap sedia untuk perkara ini dan sedang merangka rancangan,” kata menteri yang juga ahli kabinet keselamatan Israel serta bertanggungjawab meluluskan operasi ketenteraan berskala besar.
Di bawah fasa pertama gencatan senjata tajaan AS di Gaza yang bertujuan menghentikan pertempuran selama dua tahun antara Israel dan Hamas, tentera Israel perlu berundur ke kedudukan di belakang apa yang disebut sebagai 'garisan kuning'. Namun sehingga hari ini, mereka masih mengawal lebih separuh daripada wilayah tersebut.
Fasa kedua yang bermula secara rasmi bulan lalu pula merancang pengunduran berperingkat tentera Israel dan pelucutan senjata Hamas, namun perkara itu ditentang sekeras-kerasnya oleh kumpulan pejuang berkenaan.
“Tentera Israel pasti akan masuk dan menduduki Gaza jika Hamas tidak dibubarkan,” kata Smotrich.
Ditanya bagaimana tentera akan melakukan perkara tersebut, dia berkata “terdapat dua atau tiga alternatif yang sedang kami kaji buat masa ini.”
Pelan damai yang dikemukakan oleh Presiden AS, Donald Trump juga menggesa penubuhan pasukan pengamanan berkekuatan 20,000 anggota yang dikenali sebagai Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF), yang mana beberapa buah negara telah pun memberikan komitmen menghantar tentera.
Ditanya bagaimana tentera Israel akan beroperasi menentang Hamas apabila tentera asing ditempatkan di lapangan, Smotrich berkata pasukan tersebut akan “berundur dengan sangat cepat dan membenarkan tentera Israel masuk. Perkara ini diselaraskan dengan pihak Amerika.”
“Bagaimanapun, saya masih belum melihat mereka masuk sepantas itu,” tambahnya merujuk kepada ISF.
