Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Resipi Khairul Aming jadi sumber jana pendapatan suri rumah
Diterbitkan:  Feb 25, 2026 4:46 PM
Dikemaskini: 8:46 AM

Seorang suri rumah tidak menyangka percubaan memasak menggunakan resipi usahawan dan pempengaruh media sosial Khairul Amin Kamarulzaman, atau lebih dikenali sebagai Khairul Aming, mampu menjadi sumber pendapatan sampingan buat dirinya.

Hazwani Hamdan, 36, berkata dia tertarik untuk mencuba resipi yang dimuat naik oleh Khairul Aming melalui Instagram itu kerana cara penyediaan yang mudah serta tampak menyelerakan.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata pada awalnya dia hanya mencuba menu tersebut untuk hidangan mereka sekeluarga, namun tidak menyangka mendapat perhatian daripada rakan-rakan dan kenalan selepas berkongsi gambar menerusi aplikasi WhatsApp.

"Resipi pertama yang saya cuba ialah ayam sos plum. Awalnya masak suka-suka untuk keluarga tetapi tak sangka lepas kongsi gambar di WhatsApp, ramai pula yang tanya untuk tempahan.

"Setelah mendapat persetujuan suami saya mula buka tempahan pada 1 Ramadan lalu. Alhamdulillah... sambutan diterima daripada kawan-kawan dan komuniti setempat menggalakkan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Seberang Takir, hari ini.

Hazwani berkata setakat ini, dia mengehadkan tempahan sekitar 40 pek sehari untuk dua jenis hidangan kerana kesuntukan masa serta tenaga kerja.

Katanya pendapatan daripada jualan itu tidak seberapa, namun sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan harian selain digunakan untuk menyediakan persiapan raya pada bulan depan.

"Saya juga sangat teruja apabila video masakan ayam sos plum yang dimuat naik di media sosial meraih tontonan hampir satu juta.

"Ini menguatkan lagi semangat saya untuk berusaha dengan lebih gigih dan mungkin boleh menjadi seperti Khairul Aming suatu hari nanti...insya-Allah," katanya dalam nada bergurau.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS