Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menumpaskan sindiket pemalsuan visa antarabangsa dikenali sebagai “David Lawrence” dalam serbuan di sebuah kediaman di Sungai Besi pada 10 Feb lalu.
Timbalan Pengarah (Kawalan) JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Marina Habibon berkata sindiket yang didalangi pasangan suami isteri warga Bangladesh itu dipercayai aktif sejak lapan bulan lalu.
Katanya pasangan berusia 30-an terbabit menawarkan visa palsu ke negara-negara Eropah pada kadar mencecah RM20,000 bagi setiap dokumen.
Menurut Marina modus operandi sindiket terbabit ialah memproses visa antarabangsa palsu untuk pelanggan di Bangladesh, dengan dokumen dihantar ke Malaysia melalui perkhidmatan kurier antarabangsa sebelum dipalsukan dan digunakan untuk perjalanan ke Eropah.
“Dalam serbuan itu, kami merampas beberapa pasport Bangladesh, cop palsu negara asing, slip imigresen yang disyaki palsu, telefon bimbit, komputer riba serta peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Marina berkata dua individu terbabit didakwa di mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin lalu dan mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan sebelum dijatuhi hukuman denda keseluruhan RM112,000.
Bagaimanapun, katanya, selepas gagal membayar denda, kedua-duanya diperintahkan menjalani hukuman penjara 45 bulan sebelum dihantar pulang ke negara asal.
Mereka juga disenaraihitamkan daripada memasuki Malaysia buat selama-lamanya.
Dia berkata tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pemalsuan dokumen dan pelanggaran undang-undang imigresen di bawah Akta Imigresen 1959/63.
- Bernama
