Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Speaker DUN Perlis fail permohonan batal saman pemula 3 Adun
Diterbitkan:  Feb 26, 2026 8:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan, memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula yang difailkan tiga bekas Adun negeri itu di Mahkamah Tinggi Kangar.

Peguam yang mewakili Rus’sele, Wan Rohimi Wan Daud, berkata permohonan pembatalan berkenaan difailkan pada Isnin lalu.

Sementara itu, mengenai pengurusan kes saman pemula itu di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kangar, Mohamad Abazafree Mohd Abbas, melalui aplikasi Zoom petang tadi, Wan Rohimi berkata, mahkamah menetapkan tempoh hingga 25 Mac ini untuk pihak plaintif memfailkan jawapan terhadap afidavit Rus’sele.

"Mahkamah juga tetapkan tempoh untuk defendan membalas pada 15 April ini. Selanjutnya, satu prosiding (melalui) Zoom di hadapan hakim mahkamah tinggi untuk tetapkan bicara permohonan dan arahan berkaitan pada 16 April," katanya dalam kenyataan ringkas kepada Bernama malam ini.

Pada 2 Jan lalu media melaporkan tiga bekas ahli PAS, Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim, Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) memfailkan saman pemula terhadap Rus’sele kerana mengisytiharkan kekosongan luar jangka bagi kerusi yang diwakili mereka.

Rus’sele mengumumkan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Chuping, Bintong dan DUN Guar Sanji pada 25 Dis tahun lalu ekoran tindakan PAS memberhentikan keanggotaan ketiga-tiga Adun terbabit.

Keputusan Rus’sele itu dibuat selaras dengan Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.

Keputusan itu susulan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada 24 Dis 2025 yang memaklumkan bahawa keahlian ketiga-tiga ADUN terbabit terhenti berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

Tiga bekas ADUN itu diwakili Peguam Mohd Jamil Yaacob.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS