Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aerotrain KLIA: MAHB kenakan penalti RM9.1j pada kontraktor
Diterbitkan:  Feb 27, 2026 8:55 AM
Dikemaskini: 12:55 AM

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengenakan penalti ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) sebanyak RM9.1 juta terhadap kontraktor, ALSTOM IJM Construction Sdn Bhd dan Pestech Technology Sdn Bhd (IJMC-Pestech Joint Venture).

Kementerian Pengangkutan berkata tindakan itu susulan kegagalan mereka menyiapkan projek aerotrain baru di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

LAD berkenaan, kata Kementerian Pengangkutan, dikenakan berdasarkan penalti selama 91 hari bermula pada 1 April 2025 sehingga 30 Jun 2025.

"Seperti termaktub dalam kontrak, jumlah LAD dikenakan adalah sebanyak RM100,000 sehari atau jumlah keseluruhan sebanyak RM9.1 juta," katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Rakyat.

Kementerian itu menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai jumlah LAD atau penalti yang dikenakan oleh MAHB terhadap kontraktor IJMC-Pestech Joint Venture ekoran kegagalan menyampaikan projek Aerotrain baru secara memuaskan.

Terdahulu, MAHB berkata penilai kereta api bebas mengesahkan bahawa sistem Aerotrain KLIA beroperasi seperti dirancang dengan gangguan perkhidmatan diperhatikan sejak ia beroperasi adalah biasa dihadapi pada fasa operasi awal sistem kereta api yang kompleks.

Penilai itu mendapati gangguan tersebut tidak menimbulkan risiko keselamatan kerana kawalan kejuruteraan berstruktur dan pemantauan berterusan disediakan untuk menguruskan isu-isu tersebut dengan berkesan.

- Benama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS