Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peminat terus berdebar menanti keputusan CAS
Diterbitkan:  Feb 27, 2026 9:12 AM
Dikemaskini: 1:12 AM

Peminat bola sepak tempatan terus berdebar menantikan keputusan rayuan dikemukakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung hukuman dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap badan induk itu serta tujuh pemain kebangsaan.

Semakan Bernama di laman web rasmi Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) setakat 7 pagi ini mendapati keputusan masih belum dikeluarkan susulan prosiding pendengaran yang berlangsung awal pagi tadi.

Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman ketika dihubungi Bernama berkata secara ringkas bahawa satu kenyataan akan dikeluarkan hari ini berhubung prosiding berkenaan.

Pada Disember lepas, FAM mengesahkan telah mengemukakan Pernyataan Rayuan kepada CAS berhubung hukuman FIFA terhadap badan induk itu dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Sebelum itu pada September, FIFA mengesahkan FAM dan tujuh pemain iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berhubung kesalahan pemalsuan dokumen.

Siasatan mendapati FAM telah menyerahkan dokumen dipercayai dipalsukan untuk mengesahkan kelayakan pemain terbabit hingga membolehkan mereka beraksi ketika Malaysia menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 di Kuala Lumpur pada Jun lepas.

Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM11,000) serta digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.

Harapan untuk melihat hukuman itu diringankan tidak kesampaian selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA pada 3 Nov lepas menolak rayuan FAM dan kesemua pemain, sekali gus mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib mengenai pelanggaran serius Artikel 22 FDC.

Bagaimanapun, pada 27 Jan lepas, FAM memaklumkan CAS membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman itu yang dikemukakan oleh pemain terbabit, menyaksikan mereka dibenar meneruskan karier dan menyertai aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan dibuat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS