Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Susulan kes pecah kereta Teresa Kok, Bukit Kiara bakal dipantau CCTV
Diterbitkan:  Feb 27, 2026 10:28 AM
Dikemaskini: 5:47 AM

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan kerja pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di tempat letak kereta Taman Persekutuan Bukit Kiara susulan kejadian pecah kenderaan yang menimpa Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, DBKL memaklumkan kerja pemasangan tersebut akan dimulakan dalam tempoh seminggu dan dijangka siap sepenuhnya pada awal Mac ini.

"DBKL mengambil maklum hantaran Kok berhubung kejadian pecah kenderaan di kawasan parkir Taman Persekutuan Bukit Kiara serta cadangan pemasangan CCTV di lokasi berkenaan.

“Kami memandang serius insiden tersebut dan kebimbangan yang disuarakan orang awam. Keselamatan warga kota serta pengunjung taman sentiasa menjadi keutamaan kami," menurut kenyataan itu.

Beg tangan lesap, rugi RM6,500

Sementara itu, pihak polis kini sedang giat mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian pecah cermin kereta milik Kok yang berlaku pada 22 Februari lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Ahmad Firdaus Mustaffa Kamal berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada jam 7.49 malam hari kejadian.

Kejadian dipercayai berlaku antara jam 6.15 petang hingga 7 malam ketika mangsa sedang melakukan aktiviti senaman di taman rekreasi berkenaan.

Dia berkata, apabila selesai bersenam, mangsa mendapati cermin pintu hadapan sebelah kiri kenderaannya telah dipecahkan.

Mangsa melaporkan kehilangan beg tangan yang mengandungi dokumen penting, telefon bimbit serta wang tunai dengan anggaran kerugian berjumlah RM6,500.

Susulan laporan ahli Parlimen itu, pasukan forensik telah berjaya menemukan tiga kesan cap jari pada kenderaan berkenaan. Bahan bukti itu telah dihantar ke Sistem Pemeriksaan Biometrik Forensik (BIOFIS) Bukit Aman bagi proses pengecaman.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS