Jabatan Peguam Negara (AG) telah mengeluarkan arahan untuk pertuduhan terhadap tiga jurulatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) berhubung kes kematian pelatih, Syamsul Haris Shamsudin.
Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata, kesemua mereka dituduh pagi ini Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor.
Mohd Khalid menjelaskan yang pihak polis telah menerima semula kertas siasatan daripada AGC berhubung kes itu yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Katanya AGC mengarahkan pertuduhan dibuat terhadap tiga jurulatih Palapes yang merupakan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh orang.
“Pertuduhan akan dibuat pada 27 Feb jam 9 pagi di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini
Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Pada 2 Dis tahun lalu AGC mengarahkan kes kematian Syamsul Haris diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas mendengar taklimat berhubung hasil siasatan yang dijalankan.
Jenazah kadet Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu digali semula sebelum penelitian dan siasatan dibuat oleh pihak berkuasa melalui proses bedah siasat kali kedua.
Mohd Khalid turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan proses pertuduhan dan perbicaraan jenayah akan bermula serta demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini.
