Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerjaya Susan Sarandon disekat kerana bersuara untuk Gaza
Diterbitkan:  Feb 28, 2026 12:51 PM
Dikemaskini: 4:51 AM

GLOBAL | Bintang filem AS, Susan Sarandon, berkata dia disekat daripada tugasan televisyen dan filem selepas bersuara mengenai situasi di Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Pemenang Oscar itu menyifatkan dia berdepan dengan kesan profesional apabila menentang kekejaman yang berlaku di Gaza sejak Okt 2023.

"Pada awal Nov saya dipecat oleh agensi saya kerana berarak dan bersuara dan meminta gencatan senjata di Gaza," katanya di majlis Anugerah Goya Akademi Filem Sepanyol hari ini.

Susan juga memberitahu akibat pendirian yang dinyatakannya mengenai Gaza, kini dia “mustahil” untuk muncul di televisyen semula.

Namun, katanya, dia menemui peluang berkenaan "di England dan di Itali."

"Saya telah bekerja di sana. Saya baru sahaja tamat penggambaran filem di Itali, dan saya terlibat dalam pementasan teater di Old Vic selama beberapa bulan," katanya.

Dia berkata ada segelintir pihak dalam industri telah diberi amaran supaya tidak mengambilnya bekerja, “tetapi saya tahu pengarah Itali yang baru sahaja mengambil saya bekerja ini; beliau diberitahu supaya tidak mengambil saya, jadi perkara itu masih berlaku baru-baru ini, namun beliau tidak mengendahkannya.”

Sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa di antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin, Hamas, pada pada Okt lalu Israel telah membunuh 618 rakyat Palestin dan mencederakan 1,663 yang lain dalam pelanggaran gencatan senjata harian yang melibatkan serangan dan tembakan.

Gencatan senjata itu menyusuli perang pembunuhan beramai-ramai yang dilancarkan oleh Israel pada 8 Okt 2023, yang berlarutan selama dua tahun dan membunuh lebih 72,000 rakyat Palestin serta mencederakan lebih 171,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, selain memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur awam di wilayah itu.

- Bernama/Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS