Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Serangan Israel ke atas Iran 'cubaan jijik' gagal rundingan
Diterbitkan:  Feb 28, 2026 5:58 PM
Dikemaskini: 10:03 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan serangan Israel ke atas Iran, serta tindakan ketenteraan Amerika Syarikat yang mengiringinya, sebagai perkembangan berbahaya yang membawa Asia Barat ke ambang bencana.

"Tindakan Israel memulakan serangan tersebut merupakan cubaan jijik untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung dan mengheret negara lain ke dalam konflik yang mungkin mustahil dikawal.

"Penghentian segera dan tanpa syarat semua permusuhan amat mendesak.

“Saya menggesa Amerika Syarikat dan Iran mencari jalan diplomatik sebagai laluan keluar, bukannya terus meningkatkan ketegangan, dan menyeru masyarakat antarabangsa supaya bertindak dengan segera tanpa mengamalkan dwi standard," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Anwar memaklumkan kebimbangan terhadap keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Iran dan negara lain di rantau berkenaan.

"Saya akan berhubung dengan rakan serantau bagi menentukan langkah seterusnya dalam perkara ini," katanya lagi.

Perkembangan terbaru ini berlaku ketika AS dan Iran baru menyambung rundingan pada Februari bagi mencari penyelesaian diplomatik berhubung isu nuklear.

Namun, tindakan ketenteraan tersebut dilihat semakin memalapkan harapan terhadap penyelesaian melalui diplomasi dan berisiko memperluas konflik di rantau itu.

Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada Sabtu, serentak dengan operasi ketenteraan berskala besar Amerika Syarikat (AS) yang dinamakan “Operation Epic Fury”, sekali gus mencetuskan ketegangan baru di Asia Barat.

Presiden Donald Trump berkata operasi ketenteraan itu bertujuan memastikan Iran tidak memperoleh senjata nuklear dan untuk “menghapuskan ancaman segera” terhadap rakyat Amerika.

Dua pegawai AS yang dipetik Reuters memaklumkan tentera Amerika memulakan siri serangan udara dan laut terhadap sasaran di Iran, dengan kempen dijangka berlangsung selama beberapa hari. Skop penuh operasi belum diperincikan, namun Washington dilapor merancang tindakan pelbagai hari.

Seorang pegawai Iran pula berkata Tehran sedang bersiap sedia melancarkan tindak balas yang “menghancurkan”. Reuters turut melaporkan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, telah dipindahkan ke lokasi selamat di luar Tehran.

Serangan itu berlaku susulan perang udara selama 12 hari antara Israel dan Iran pada Jun lalu, serta amaran berulang kali dari Washington dan Tel Aviv mengenai kemungkinan tindakan ketenteraan jika Tehran meneruskan program nuklear dan peluru berpandunya.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, dilaporkan berkata operasi itu sebagai serangan pencegahan bagi menghapuskan ancaman terhadap negaranya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS