Peguam kepada dua anak Daim Zainuddin mempersoalkan keperluan Jabatan Imigresen untuk menyatakan anak guamnya berada di luar negara di saat siasatan oleh SPRM sedang berjalan.
Rajesh memberitahu Malaysiakini bahawa pihak peguam sebelum ini telah memaklumkan kepada SPRM tentang keberadaan mereka di luar negara.
“Ini merupakan satu lagi cubaan untuk menimbulkan sensasi oleh badan penguat kuasa yang sepatutnya bersikap neutral dan tidak berpolitik.
“Peguam telah pun memaklumkan kepada SPRM secara bertulis bahawa mereka kini berada di luar negara.
“Dengan kata lain, pihak berkuasa sepenuhnya maklum berdasarkan maklumat yang diberikan oleh peguam bahawa anak-anak Daim tiada dalam negara,” katanya hari ini.
Justeru, Rajesh - yang mewakili Amir Zainuddin and Amin Zainuddin - mempersoalkan kenyataan Zakaria yang menurutnya seperti ingin memberi gambaran pihak berkuasa tidak mengetahui keberadaan mereka.

Semalam, Malaysiakini melaporkan tiga daripada empat anak bekas menteri kewangan yang sedang dikesan SPRM dipercayai berada di luar negara.
Merujuk rekod Jabatan Imigresen, ketua pengarahnya Zakaria Shaaban berkata tiga individu terbabit dikesan meninggalkan Malaysia pada akhir Januari dan awal bulan ini.
Ia selepas SPRM meminta bantuan orang ramai untuk mengesan empat anak Daim — Asnida, Wira Dani, Amir Zainuddin dan Amin Zainuddin — bagi membantu siasatan satu kes.
Rajesh menyifatkan tindakan itu sebagai satu “langkah politik yang dirancang” dan menimbulkan kebimbangan berhubung risiko dalam proses siasatan.
“Saya berharap kerajaan dan badan penguat kuasa berkaitan menghentikan kenyataan-kenyataan tidak berasas serta bersifat prejudis seperti ini, dan sebaliknya melaksanakan tugas mereka secara adil dan telus,” katanya.
Sebelum ini, Rajesh turut mengkritik tindakan SPRM yang memohon orang ramai memberikan butiran keberadaan anak guamnya, dengan menyifatkannya sebagai melulu dan tidak wajar.
