Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Serangan baru peluru berpandu Iran pada Israel, pangkalan tentera AS bermula

Gelombang baru serangan peluru berpandu Iran ke atas Israel dan pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) bermula, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Angkatan bersenjata Iran berkata mereka “tidak akan membenarkan siren amaran disenyapkan” di Israel dan pangkalan AS, menurut Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC), unit elit angkatan bersenjata.

“Gelombang keenam serangan peluru berpandu dan dron ke atas wilayah Israel dan pangkalan tentera AS di rantau ini telah bermula,” kata IRGC dipetik oleh agensi berita Isna.

IRGC menyatakan serangan itu menyasarkan 27 lokasi, termasuk pangkalan udara Tel Nof, ibu pejabat tentera Israel dan kompleks ketenteraan-industri utama di Tel Aviv.

“Angkatan Bersenjata Republik Islam Iran tidak akan membenarkan siren amaran di Israel dan pangkalan AS disenyapkan, dan akan melaksanakan peringkat balas dendam yang tegas dan pelbagai melalui serangan bertahap,” menurut kenyataan itu.

Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei terbunuh di pejabatnya pada awal pagi Sabtu akibat serangan peluru berpandu AS dan Israel. Susulan kematiannya, kerajaan Iran mengisytiharkan tempoh berkabung kebangsaan selama 40 hari dan seminggu cuti umum.

IRGC dan tentera Iran berikrar untuk membalas kematian Khamenei dalam kenyataan yang diterbitkan.

AS dan Israel melancarkan beberapa siri serangan ke atas sasaran di Iran pada Sabtu, termasuk Tehran, mengakibatkan kerosakan dan kematian orang awam. Iran kemudian melancarkan serangan roket balas ke atas wilayah Israel serta sasaran tentera AS di Timur Tengah.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS