Jenazah pemimpin agama Iran yang terbunuh, Ayatollah Ali Khamenei, akan dikebumikan di sebuah makam Syiah di bandar kelahirannya di Mashhad, menurut Agensi Berita Fars pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Agensi berita yang mempunyai kaitan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam itu melaporkan bahawa pengebumian dijangka berlangsung berhampiran makam Imam Reza di Mashhad, seperti yang dilakukan bagi pengebumian bapa Khamenei sebelum ini.
Kompleks makam Imam Reza di Mashhad, yang menempatkan pusara Imam Reza - Imam kelapan dalam kepercayaan Syiah Imam Dua Belas - dianggap sebagai antara tapak suci Syiah paling penting di Iran.
Menurut agensi berita itu, satu upacara penghormatan terakhir kepada orang ramai dijadual berlangsung di Tehran sebelum pengebumian, dengan butiran program dan waktu akan diumumkan kemudian.
Mashhad, sebuah metropolis di timur laut Iran dengan kira-kira tiga juta penduduk dan bandar kedua terbesar negara itu, merupakan tempat kelahiran Khamenei yang dilahirkan pada 19 April 1939. Beliau terbunuh dalam serangan udara di Tehran pada Sabtu.
- Bernama- dpa
