Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerah tentera AS ke Iran bukan sebahagian pelan operasi di Iran - White House

White House menyatakan pada Rabu bahawa pengerahan tentera AS ke Iran pada masa ini bukan sebahagian daripada strategi ketenteraan pentadbiran Trump, namun tetap membuka kemungkinan bahawa pilihan tersebut boleh berubah, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Buat masa ini, mereka bukan sebahagian daripada rancangan untuk operasi ini," kata jurucakap Karoline Leavitt kepada pemberita.

Kenyataan beliau dibuat di tengah-tengah serangan AS-Israel terhadap Iran, yang bermula pada 28 Feb, mengorbankan Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei dan pegawai keselamatan tertinggi.

Tehran telah bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan tapak berkaitan Israel dan AS di negara Teluk. Enam anggota perkhidmatan AS telah terkorban dan beberapa yang lain cedera.

Pengerusi Ketua Staf Bersama Jen Dan Caine ditanya pada Rabu mengenai kemungkinan mengerahkan pasukan darat di Iran.

“Saya tidak akan mengulas mengenai kehadiran tentera AS di darat. Saya fikir itu adalah soalan untuk penggubal dasar. Dan saya tidak membuat dasar, saya melaksanakan dasar," kata Caine kepada pemberita di Pentagon.

AS sedang bergerak ke arah "kawalan lengkap dan menyeluruh" ke atas ruang udara Iran, kata Leavitt, sambil menambah bahawa lebih daripada 2,000 sasaran telah diserang.

Leavitt berkata Presiden Donald Trump berhasrat untuk menghadiri istiadat penghantaran pulang enam anggota perkhidmatan AS "untuk berkongsi kesedihan bersama keluarga mereka."

"Saya difahamkan Jabatan Perang sedang mengusahakan penjadualan pemindahan ini, dan kami akan memberikan kemas kini pada masa yang sesuai," tambahnya.

Leavitt turut menyokong objektif AS dalam kempen udara bersama Israel-AS terhadap Iran di sebalik kritikan bahawa pentadbiran itu tidak menunjukkan bukti mengenai ancaman mendesak yang didakwa dicetuskan oleh Tehran terhadap AS.

"Keputusan untuk melancarkan operasi ini adalah berdasarkan kesan kumulatif daripada pelbagai ancaman langsung yang diberikan oleh Iran kepada AS," katanya, sambil menambah bahawa rejim itu telah mengancam AS selama 47 tahun.

Leavitt berkata Trump sedang berunding dengan pasukan keselamatan negaranya mengenai potensi peranan AS di Iran sebaik sahaja operasi ketenteraan semasa berakhir.

"Kami juga telah melihat laporan tersebut, sudah tentu, dan ini adalah sesuatu yang sedang diperhatikan oleh agensi perisikan kami. Hakikatnya, kita perlu tunggu dan lihat," kata Leavitt, apabila ditanya mengenai laporan media yang menyatakan Mojtaba Khamenei, anak kepada Ali Khamenei, telah muncul sebagai calon utama untuk menggantikannya.

Ditanya mengenai laporan yang mendakwa pentadbiran Trump telah mempertimbangkan untuk melengkapkan pasukan Kurdish dengan senjata dengan harapan berlakunya pemberontakan di Iran, Leavitt berkata Trump telah mengadakan banyak panggilan dengan rakan kongsi, sekutu, dan pemimpin di rantau Timur Tengah.

"Beliau ada bercakap dengan pemimpin Kurdish berkenaan pangkalan AS di utara Iraq. Tetapi bagi mana-mana laporan yang mencadangkan bahawa presiden telah bersetuju dengan rancangan sedemikian adalah palsu sama sekali dan tidak seharusnya ditulis," tambahnya.

- Bernama-Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS