Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sanfrecce Hiroshima salahkan dentuman bunga api
Diterbitkan:  Mar 5, 2026 3:04 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

Pengendali kelab Sanfrecce Hiroshima, Bartosch Gaul, menyifatkan anak buahnya berdepan kesukaran sebelum perlawanan menentang JDT malam tadi, termasuk isu tidur yang terganggu kerana dentuman bunga api.

Akibatnya, kata Gaul, mereka tewas 1-3 kepada JDT pada aksi pertama pusingan 16 Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim di Gelang Patah, Johor.

“Bermain dengan kekurangan seorang pemain ketika berdepan lawan yang dibarisi ramai pemain berkualiti bukan tugas mudah.

"Pemain berdepan dengan pelbagai isu sebelum perlawanan seperti tempoh perjalanan yang panjang, cuaca panas dan kering serta tidak mendapat tidur yang berkualiti apabila dikejutkan dengan dentuman bunga api di luar hotel.

"Ia menyebabkan perlawanan ini sukar buat kami. Bagaimanapun, pemain telah melakukan tugas dengan baik malah hampir menjaringkan gol kedua perlawanan.

“Saya bangga dengan apa mereka pamerkan," katanya seperti dilaporkan Berita Harian, hari ini.

Pengendali kelahiran Jerman itu berkata, barisan pemain yang diturunkan untuk berdepan skuad Harimau Selatan kendalian Xisco Munoz itu tetap memberikan tentangan sengit walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam tempoh 65 minit.

Layangan kad merah kepada Kim Ju Sung dilaporkan menjejaskan rentak dan taktikal permainan Sanfrecce Hiroshima sekali gus memberi kelebihan kepada skuad JDT.

Ayam tambatan JDT Ager Aketxe, Bergson Da Silva dan Marcos Guilherme masing-masing menjaringkan satu gol, manakala pelawat berjaya meraih gol saguhati hasil jaringan sendiri Rui Felipi pada penghujung permainan.

Sementara itu Gaul percaya peluang untuk Sanfrecce Hiroshima mara ke pusingan suku akhir masih belum tertutup selepas berjaya mengurangkan defisit jaringan.

Bartosch Gaul

Katanya, kemenangan 3-0 di tempat sendiri pada 11 Mac ini akan membolehkan mereka melayakkan diri ke pusingan seterusnya tapi perlu memastikan JDT tidak menjaringkan satu gol pun pada perlawanan itu nanti.

"Segalanya boleh terjadi dalam bola sepak, tiga gol juga boleh terhasil dengan mudah dan mengubah segalanya. Jadi, penting buat pasukan untuk kekal positif pada aksi timbal balik nanti.

"Pada aksi itu, penting buat kami untuk mendapat gol pembukaan pada awal permainan sekali gus memberi tekanan kepada JDT," katanya.

Pada Feb tahun lalu, aduan mengenai dentuman mercun di kawasan hotel juga dilaporkan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Ia melibatkan kelab Pohang Steelers ketika mereka berkunjung ke Johor Bahru.

Perlawanan berakhir dengan mereka mengalami kekalahan 2-5 kepada JDT.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS