Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemandu pelancong diserang asma ketika didakwa di mahkamah
Diterbitkan:  Mar 5, 2026 5:22 PM
Dikemaskini: 10:01 AM

Seorang pemandu pelancong hari ini mengalami serangan asma ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menipu seorang lelaki membabitkan kerugian hampir RM500,000.

Tjoeng Chan Chin, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Azrul Darus.

Azrul menangguhkan seketika prosiding sejurus selepas pertuduhan dibacakan apabila melihat lelaki yang berada di dalam kandang tertuduh itu beberapa kali tercungap-cungap dan terpaksa menggunakan alat sedut (inhaler).

Prosiding disambung semula beberapa minit kemudian dengan hakim mengarahkan Tjoeng duduk di dalam kandang tertuduh sepanjang prosiding berlangsung.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa bersama-sama dua lagi individu yang masih bebas menipu seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun dengan menawarkan pinjaman pelaburan tidak wujud sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM475,166.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah lokasi di Seksyen 6 Wangsa Maju, antara 12 Mac hingga 3 April 2025.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 34 kanun sama. Jika disabitkan bersalah tertuduh boleh dipenjara antara setahun hingga 10 tahun dan sebat serta denda.

Timbalan pendakwa raya Izzat Amir Idham menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun peguam Evie Melynda Jee yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menghidap penyakit jantung, asma serta darah tinggi kronik.

Kata peguam bela, tertuduh yang berpendapatan RM3,000 sebulan juga menanggung dua anak serta ibu bapa yang sudah berusia.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 16 April ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS