Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
1

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, beranggapan bahawa PKR telah melakukan pusingan-U selepas tidak mengambil sebarang tindakan terhadapnya berikutan surat tunjuk sebab yang diterimanya sebelum ini.

Menurut Rafizi, surat tunjuk sebab yang dikemukakan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, bertujuan untuk memecatnya daripada parti.

“Yang berlaku sebenarnya PKR U-turn kerana surat tunjuk sebab yang pertama itu tujuannya ialah untuk memecat saya. Jadi jelaslah nampak yang memberi gambaran dalam surat tunjuk sebab yang pertama.

“Bahawa tindakan saya menyatakan hasrat untuk bertanding tetapi bukan atas tiket PKR pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, itu telah diertikan oleh setiausaha agung PKR sebagai tindakan mengisytiharkan keluar parti.

“Jadi memang jelaslah ke mana tujuannya iaitu untuk memecat sayalah,” katanya kepada media selepas melancarkan program Pinjam Gajet anjuran Ayuh Malaysia di Subang, hari ini.

Rafizi berkata demikian ketika ditanya mengenai sebarang perkembangan selepas keputusan PKR berhubung surat tunjuk sebab terhadapnya.

Sebelum ini, Rafizi mendakwa Presiden PKR, Anwar Ibrahim, cuba menekannya supaya keluar sendiri daripada parti dan tersingkir sebagai ahli Parlimen agar dia tidak perlu dipecat dan kekal sebagai wakil rakyat.

Ia berlaku selepas bekas menteri ekonomi itu menerima surat tunjuk sebab daripada PKR yang menuduhnya mengisytiharkan keluar daripada parti apabila mengumumkan rancangan untuk bertanding dalam PRU akan datang bukan di bawah tiket PKR.

Fuziah kemudian dilaporkan berkata, Rafizi diberikan surat tunjuk sebab berikutan tindakannya seakan-akan telah hilang kepercayaan terhadap parti.

Susulan itu, Rafizi menjawab surat tunjuk sebab tersebut, antara lain menjelaskan kenyataannya cukup senang difahami tanpa memerlukan tafsiran rumit.

Dalam surat jawapannya yang turut dilampirkan dalam hantaran itu, bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata kenyataannya ketika wawancara bersama Sin Chew Daily “mempunyai maksud seperti yang boleh difahami oleh sesiapa yang mempunyai penguasaan bahasa Melayu yang baik”.

PKR kemudiannya memutuskan keahlian Rafizi dikekalkan sambil mengingatkannya agar sentiasa mematuhi perlembagaan, kod tata etika dan disiplin parti sebagai tanda masih setia sebagai anggota parti.

Ditanya mengenai kemungkinan PKR takut untuk memecatnya, Rafizi berkata dia tidak mempunyai sebarang pandangan mengenai perkara itu.

“Saya tak tahu apa perbincangan mereka. Saya tak tahu apa niat dan objektif dan saya tak tahu nak spekulasi.

“Cuma dalam keadaan saya, apa-apa pun tindakan saya, maksudnya saya mestilah sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan,” jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS